GAC HYPTEC HL EV DIDEDAHKAN – LEBIH BESAR BERBANDING NIO ES8, DILENGKAPI SISTEM ADIGO 6.0
Kenderaan elektrik GAC Hyptec HL, sebuah SUV elektrik telah didedahkan dalam imej rasmi sebelum debutnya di Guangzhou Auto Show 2024 pada 15 November ini.
Model terbaru dari GAC Group ini menampilkan panel lampu interaktif tersembunyi di bahagian hadapan dan menggunakan platform 800V dengan sistem pacuan empat roda dwi-motor (4WD).
GAC berkongsi imej rasmi SUV ini – memperlihatkan reka bentuk badan yang memanjang dengan garis pinggang rendah serta bumbung rata dan dilengkapi dengan sensor LiDAR.
Antara ciri menarik lain termasuk pemegang pintu boleh tarik, rim berbilang jejari bersaiz 21-inci, serta lampu belakang yang bersambung dalam satu unit.
Bahagian hadapan Hyptec HL menampilkan lampu LED dua tingkat, dengan lampu siang di bahagian atas manakala lampu utama berada pada bampar hadapan.
Salah satu ciri paling menonjol adalah panel LED interaktif tersembunyi di bahagian hadapan yang membolehkan pemandu memaparkan teks dan imej ringkas.
Hyptec HL mempunyai panjang badan 5,126mm dengan jarak roda sepanjang 3,088mm, menjadikannya sedikit lebih panjang daripada generasi kedua Nio ES8.
Walaupun GAC belum berkongsi imej dalaman Hyptec HL, gambar intipan mendedahkan bahawa kabinnya disusun dengan enam tempat duduk dalam format 2 + 2 + 2.
SUV ini menggunakan platform berkuasa tinggi 800V yang menyokong pengecasan pantas 5C. Ini bermaksud ia mampu mengecas dengan kuasa lima kali lebih cepat daripada kapasiti baterinya.
Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih tinggi, Hyptec HL juga akan hadir dengan pilihan sistem pacuan empat roda dwi-motor.
Walau bagaimanapun, perincian secara mekanikal masih belum didedahkan oleh GAC. Ciri-ciri tambahan lain termasuk suspensi udara dan sistem bantuan pemanduan pintar AI, ADIGO 6.0.
Dengan teknologi dan reka bentuk canggih yang dibawa oleh GAC Hyptec HL, SUV elektrik ini dijangka bakal mendapat sambutan hangat di pasaran, terutamanya dengan fokus GAC untuk memperkenalkan jenama ini ke peringkat antarabangsa.