RX-7 FD3S – KERETA SPORTS LAGENDA DENGAN DARAH KACUKAN 3 NEGARA
Kalau Toyota Supra yang paling lejen ialah MK4, Mazda RX-7 juga mempunyai model yang glamer mereka. Ia merupakan generasi ketiga RX-7 dan dikenali sebagai FD3S. Budak-budak Honda FD tepi sikit, sejarah RX-7 FD ni lagi lama. Ia merupakan antara kereta sports paling cantik dari Jepun dan rupa-rupanya ia mendapat inspirasi dari sebuah Ferrari berwarna kuning. Ini diceritakan sendiri oleh Tom Matano, salah seorang peneraju pembangunan RX-7 FD kepada laman web motor1.com.
Matano menyertai Mazda pada tahun 1983 dan dilantik sebagai ketua pereka Mazda Research of America (MRA) di California. Pada masa itu Mazda sedang membangunkan RX-7 generasi kedua dan studio mereka kelihatan seperti pusat servis Porsche ataupun lebih tepat lagi Porsche 944 kerana penuh dengan poster dan majalah berkaitan dengan 944. Malah terdapat 944 di kawasan pakir studio.
Logiknya senang sahaja, RX-7 akan menjadi pesaing 944 dan tiada model yang lebih sesuai dijadikan kayu pengukur selain 944 sebenar.
Matano berpendapat, pemikiran orang Jepun ketika itu sama seperti pemikiran orang China – mereka tidak berfikir tapi mencari jalan untuk meniru. Warga Barat memanggilnya plagiat tapi bagi orang Jepun pula “Kami sukakannya jadi kami ambil dan jadikan ianya milik kami.” Langsung tak kreatif kan?
Sebab itulah rekaan RX-7 FC banyak menyerupai 944. Untuk generasi ketiga RX-7, Matano mengorak langkah untuk menghasilkan kereta sports tercantik dari Jepun. Kali ini inspirasi bukannya datang daripada Porsche 944 tapi dari sebuah Ferrari.
Matano dilahir dan dibesarkan di Jepun tapi kerjaya rekaan beliau bermula dengan GM di Detroit dan Australia dan akhirnya dengan BMW di Munich. Beliau tidak suka meniru rekaan orang lain dan menghargai nilai kreativiti.
Proses rekabentuk RX-7 FD bermula pada tahun 1987 dengan persaingan antara studio Mazda di Yokohama dan Hiroshima selain sebuah lagi firma bebas di UK dan MRA yang diketuai oleh Matano. 8 rekaan disenarai pendek sebelum dikecilkan kepada dua rekaan sahaja. Satu dari Hiroshima dan satu lagi dari MRA. Tak payah ceritalah rekaan siapa yang akhirnya diproduksikan.
Matano berhasrat untuk menghasilkan satu rekaan yang malar hijau. Ia mesti kekal relevan sepanjang zaman dan kalau dilihat pada status RX-7 FD sekarang, matlamat beliau memang sudah tercapai.
Sewaktu dalam proses pembangunan, Matano berpendapat mereka perlukan kehadiran Ferrari yang paling berpengaruh, 275 GTB. Ini kerana 275 GTB sudah membuktikan yang ia adalah sebuah kereta sports yang malar hijau.
Ferrari klasik dipilih berbanding model kontemporari yang belum teruji kehebatannya. Malah pada tahun 80an sekali pun, 275 GTB sudah membuktikan kehebatannya untuk kekal berkarisma.
Menariknya, Mazda tidak membeli Ferrari tersebut. Ia merupakan milik seorang sahabat Matano yang memerlukan tempat simpanan untuk 275 GTB beliau sebelum direstorasi. Matano menawarkan studio rekaan Mazda sebagai tempat simpanan dan disitulah ia berada sekaligus menjadi sumber inspirasi kepada pasukan pembangunan RX-7. Situasi menang-menang kata orang.
RX-7 FD akhirnya dilancarkan pada tahun 1993 hanya beberapa bulan selepas Mazda memenangi perlumbaan Le Mans. Ramalan Matano tentang FD terbukti menjadi kenyataan. Ia merupakan model terakhir RX-7. Model penggantinya dinamakan RX-8 dan ia tidak dapat mengulangi kehebatan pencapaian RX-7 FD sebelumnya.
Nilai RX-7 FD semakin meninggi di pasaran dan rekaannya memang lain dari yang lain menjadikannya kereta sports paling unik dan paling cantik pernah dihasilkan dari Jepun.
Kredit motor1.com