Artikel Pilihan

JETOUR BAKAL PERKENAL SUV LASAK, CEKAP TENAGA. LAND ROVER DAN JEEP GOYANG?

Jetour iaitu jenama automotif yang pesat berkembang bakal memperkenalkan beberapa model baru menjelang suku pertama tahun 2025 nanti. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Presiden Jetour Auto International semasa persidangan Jetour Global Travel+ baru-baru ini menerusi 2 model dahulu

Model pertama ialah Jetour Dashing iaitu SUV kompak 5 tempat duduk dengan saiz antara Honda HR-V dan CR-V manakala model kedua ialah Jetour X70+ dengan nama model ini akan ditukar kemudian disebabkan X70 telah digunakan oleh Proton

Jetour Dashing

Bagi model Jetour Dashing, ia akan dibina dengan menggunakan platform serba baru Kunlun dengan panjang keseluruhan mencecah 4590mm, lebar 1900mm dan juga jarak antara roda ditetapkan pada 2720mm. Jetour Dashing akan datang dengan ketinggian maksimum 1685mm sahaja

Ia akan dikuasakan dengan enjin 1500cc 4 silinder turbo yang menjana 154 kuasa kuda dan 230Nm tork dengan semua kuasa akan dihantar ke roda depan menerusi transmisi 6 kelajuan klac berkembar. Terdapat 3 mode pemanduan yang ditawarkan samaada Economy, Comfort atau Sport.

Bergantung pada varian, Jetour Dashing akan menerima lampu depan LED, DRL LED, lampu belakang LED, pintu kargo belakang bantuan kuasa, ciri remote engine start, kusyen balutan kulit, skrin mulrimedia dan meter digital 10.25 inci dan juga pengecas telefon tanpa wayar 50 watt.

Jetour X70 Plus

Ini diikuti oleh Jetour X70 Plus iaitu SUV 7 tempat duduk dengan panjang mencecah 4724mm, lebar 1900mm dan jarak antara roda 2720mm. Berbeza dengan Dashing, X70 Plus akan direka lebih tinggi pada 1720mm dan kelegaan dengan permukaan jalan pada 144mm menjadikannya berada dalam SUV segmen D.

Jetour X70 Plus akan menggunakan enjin 1500cc turbo 4 silinder, namun kuasa enjin adalah sekitar 148 kuasa kuda dan 230Nm tork yang sama digunakan oleh Chery Omoda. Semua kuasa akan dihantar ke roda depan menerusi transmisi 6 kelajuan klac berkembar

Rekaan dalaman kabin adalah mirip SUV buatan Eropah dengan skrin 10.25 inci yang digabungkan dalam 2 unit, paddle shifter, kusyen balutan kulit, sistem cruise control, sambungan Apple Car Play & Android Auto, kamera parkir 360 darjah dan juga pintu kargo bantuan kuasa elektrik

Jetour T2

Namun bagi pemandu yang mahukan pengembaraan dengan keupayaan offroad yang lebih serius, Jetour turut menawarkan model T2 yang mula diperkenalkan pada tahun 2023. Ia direka dengan bantuan Hakan Saracoglu iaitu bekas jururekabentuk daripada Porsche, menampilkan rekaan berkotak ala-ala Land Rover Defender namun dengan personaliti sendiri.

Jetour T2 direka dengan sudut mendaki 28 darjah, sudut berlepas 30 darjah dan juga jarak dengan permukaan jalan mencapai 220mm selain berupaya meredah air pada kedalaman mencecah 700mm.

Jetour juga bekerjasama dengan BorgWarner yang membekalkan sistem penguruan tork dan limited slip differential elektronik, bagi membenarkan Jetour T2 menukar mode pemanduan sepanjang masa dengan mudah

Jetour T2 dipasang dengan enjin 1500cc 4 silinder turbo yang menjana 181 kuasa kuda dan 290Nm tork lengkap transmisi 7 kelajuan klac berkembar. Pembeli juga boleh memilih varian yang lebih berkuasa iaitu enjin 2000cc turbo yang menjana 250 kuasa kuda dan 390Nm tork yang dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan automatik

Ruang kabin dimonopoli oleh skrin sebesar 15.6 inci lengkap dengan sistem pemprosesan Qualcomm Snapdragon, meter digital 10.25 inci, bumbung kaca panaromic, 10 beg udara, sistem pencahayaan kabin 128 warna dan 12 pembesar suara Sony

Jetour T1

Tapi sekiranya anda bukanlah penggemar kenderaan lasak laluan offroad, mungkin anda akan meminati Jetour T1 yang direka untuk kegunaan bandar dan juga offroad ringan. Jetour T1 datang dengan panjang 4706mm, lebar 1967mm dan tinggi 1845mm.

Jarak antara roda pula ditetapkan pada 2810mm bagi menghasilkan ruang dalaman yang luas serta rekaan yang nampak gagah. Sudut mendaki pula adalah pada 27 darjah dan sudut menuruni bukit berada pada 25 darjah

Jetour T1 dipacu dengan trenkuasa hibrid yang merangkumi enjin 1500cc 4 silinder turbo yang menjana 154 kuasa kuda dan 220Nm tork, dibantu dengan motor elektrik dan juga bateri LFP sebesar 26.7kW. Ini membolehkan Jetour T1 dipandu dalam mode elektrik sejauh 117km dan jarak pemanduan mencapai 1400km dengan satu tangki petrol

Google ads
Back to top button