POS MALAYSIA TERIMA 1,092 UNIT SKUTER ELEKTRIK MODENAS MEV-1 PRO
Pos Malaysia dengan kerjasama MODENAS telah menerima 1,092 unit skuter elektrik MODENAS MEV-1 PRO dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Gurun, Kedah pada Selasa.
Penyerahan itu membuktikan komitmen Pos Malaysia untuk mencapai elektrifikasi penuh menjelang 2030.
MODENAS MEV-1 PRO merupakan naik taraf kepada MEV-1 yang telah pun diserahkan kepada Pos Malaysia sebelum ini.
Menurut MODENAS, MEV-1 PRO merupakan model lebih berkuasa dengan 4.3kW (5.8hp) yang berupaya membawa beban sehingga 250kg (termasuk penunggang) dan mampu mendaki cerun 19-darjah.
Dalam pada itu, MODENAS juga menyediakan khidmat servis menyeluruh untuk MEV-1 PRO di semua rangkaian pusat servis rasmi seluruh negara. Dalam usaha memperkembang khidmat penyelenggaraan MEV-1 PRO, MODENAS turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa pusat teknikal termasuk GIAT MARA.