
GEELY LANCAR TRAK PIKAP ELEKTRIK RADAR AUTO RD6, JARAK GERAK 600KM
Salah satu daripada syarikat automotif terbesar di China, Geely baru-baru ini telah melancarkan sebuah lagi jenama automotif berkonsepkan gaya hidup luar yang aktif dan penuh cabaran yang digelar sebagai Radar Auto.
Serentak dengan itu, Geely turut memperlihatkan secara rasmi model trak pikap elektrik pertama yang dinamakan sebagai RD6.

Ia dibangun menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dikhususkan untuk kenderaan elektrik, namun dengan rekaan luaran yang banyak dipinjamkan daripada model Geely Haoyue (Proton X90).
Setakat ini, spesifikasi trak pikap ini masih lagi samar-samar, namun menurut laporan media tempatan, Radar Auto bakal menawarkan sehingga dua konfigurasi motor elektrik, dengan dua pilihan pek bateri yang mampu membenarkan jarak operasi sejauh 600 km (data CLTC).

Dengan membawakan saiz yang hampir sama dengan Ford Ranger, Radar Auto RD6 mempunyai ciri unik seperti trunk hadapan, serta bed kargo belakang yang dilengkapi dengan slot kuasa tambahan di bahagian tersebut.
Malah, gambar rasmi yang dibekalkan juga memperlihatkan RD6 sebagai sebuah kenderaan gaya hidup yang boleh digunakan di tepi pantai.
Menurut Radar Auto, produksi RD6 akan bermula pada suku keempat tahun ini, dan harga jualan hanya akan diumumkan kelak.






