Buletin

HONDA CR-V GENERASI BAHARU DIPERLIHATKAN SECARA RASMI

Meriah seketika Malaysia dengan pelancaran model generasi baharu Honda HR-V baru-baru ini.

Namun di Amerika Syarikat, Honda telah pun memperkenalkan secara rasmi model generasi baharu Honda CR-V 2023 dengan membawakan penggayaan yang lebih ranggi dan sofistikated.

Terdapat beberapa elemen inspirasi daripada model Honda Ridgeline dan Passport TrailSport dibawakan pada model CR-V dengan perubahan besar dibawakan pada rupa hadapan dengan gril yang lebih besar dan menegak, diikuti lampu LED yang lebih nipis.

Tidak ketinggalan, lampu LED belakang dengan penampilan yang lebih mewah seperti sebuah SUV Volvo.

Menggunakan platform asal yang telah dipertingkatkan, dimensi CR-V adalah jauh lebih besar berbanding generasi terdahulu, di mana ia kini berukuran 4,694 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,700 mm.

Selain itu, Honda telah menala kembali casis ini bagi menawarkan pemanduan yang lebih lancar, lebih stabil dan lebih tegar 15 peratus.

Ruang kabin pula menempatkan rekaan papan pemuka yang hampir sama dengan model sedan Civic FE, disumbangkan oleh susun atur yang minimalis, serta kehadiran skrin kluster instrumen tujuh inci dan skrin infotainmen sembilan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto untuk varian tertinggi.

Selain itu, varian premium turut mendapat ciri seperti pengecasan nirwayar dan sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara.

Untuk pasaran Amerika Syarikat, Honda CR-V didatangkan dengan pilihan enjin 1.5 liter turbo (190 hp/243 Nm) yang dipadankan dengan CVT, atau pilihan nadi hibrid 2.0 liter + motor elektrik berkembar menghasilkan kuasa 204 hp dan 335 Nm.

Setakat ini, harga jualan Honda CR-V untuk pasaran Amerika Syarikat masih lagi belum didedahkan.

Google ads
Back to top button