Buletin

GHOSN AKAN DIUNDURKAN DARI RENAULT- MENTERI KEWANGAN PERANCIS

Carlos Ghosn sepatutnya berundur dari Renault selepas penangkapannya di Jepun, kata menteri kewangan Perancis. Beliau juga menggesa pembuat kereta itu untuk bergerak pantas untuk melantik pasukan pengurusan interim bagi mengawal kerosakan yang sedang berlaku.

Ghosn, salah seorang individu  terkenal dalam industri automotif, ditahan di Jepun pada hari Isnin selepas Nissan berkata dia terlibat dalam salah laku termasuk penggunaan wang syarikat secara peribadi dan tidak melaporkan dengan betul pendapatannya selama bertahun-tahun. Nissan akan memecat Ghosn dalam mesyuarat lembaga pengarah esok.

“Carlos Ghosn tidak lagi berada di kedudukan di mana dia mampu mengetuai Renault,” kata Menteri Kewangan, Bruno Le Maire, kepada radio Info France.

“Walau bagaimanapun, kami tidak menuntut perletakan jawatan secara rasmi Ghosn dari lembaga pengurusan untuk alasan yang mudah, kami tidak mempunyai bukti dan kami mengikut prosedur undang-undang yang sepatutnya,” tambah Le Maire.

Kerajaan Perancis memiliki 15 peratus kepentingan saham dalam Renault, dan Renault memiliki 43.4 peratus pegangan dalam Nissan.

Le Maire juga memanggil lembaga pengarah Renault untuk berjumpa “pada waktu yang sesuai” untuk menubuhkan struktur pengurusan interim memandangkan Ghosn yang masih ditahan merupakan ketua dan ketua eksekutif syarikat tersebut.

BACA: NISSAN PECAT CARLOS GHOSN

Le Maire berkata beliau akan menghubungi rakan sejawatannya dari Jepun mengenai perkara itu, dan menegaskan bahawa keutamaan Perancis adalah untuk memastikan kestabilan syarikat Renault.

Le Maire menambah bahawa perkongsian Renault dengan Nissan adalah untuk kepentingan Perancis, Jepun dan kedua-dua syarikat.

“Renault dalam keadaan lemah, menjadikannya lebih penting untuk bertindak cepat,” kata Le Maire.

Saham Renault turun 2.8 peratus pada sesi dagangan awal semalam, dengan saham yang merosot 8.4 peratus pada hari Isnin.

Google ads
Back to top button