Buletin

GLS TEAM, MUAR STAR BC RAIH GELARAN JUARA PIALA 3V3 TOTALENERGIES X LI-NING

Setelah berlangsung selama dua bulan di negeri-negeri yang berbeza, Piala 3V3 TotalEnergies x Li-Ning akhirnya menutup tirai pada hujung minggu lalu.

Grand Finale ini menghimpunkan 31 pasukan dari KL, Johor, dan Pulau Pinang, bersaing selama dua hari pada 18-19 November di Sunway Velocity Mall merebut hadiah utama berupa wang tunai serta barangan eksklusif sebanyak RM150,800.

Grand Finale berkenaan turut disaksikan oleh bekas pemain badminton Malaysia iaitu Tan Boon Heong dan Goh Liu Ying termasuk dihadiri Pengarah Urusan TotalEnergies Marketing Malaysia Jennifer Li, Pengarah Sunlight Sports, Dato Sri Sam Soh dan Ketua Pembangunan Perniagaan Li-Ning Malaysia Simon Soh.

“Seperti kita semua tahu, badminton adalah sukan yang sangat digemari ramai di kalangan masyarakat. Ia adalah sukan yang memerlukan ketangkasan, ketepatan, serta keazaman, dan ia benar-benar mengagumkan untuk menyaksikan lebih daripada 100 pasukan bermain selama dua bulan lalu dari peringkat awal sehingga Grand Finale,” kata Pengarah Urusan TotalEnergies Marketing Malaysia, Jennifer Li.

Menurutnya, TotalEnergies sebagai syarikat terpercaya dalam pelincir dan penyelesaian mobiliti didorong oleh semangat kecemerlangan dalam prestasi, ketepatan serta daya tahan.

“Ciri-ciri badminton sebagai sukan sejajar dengan nilai teras TotalEnergies dan kami berharap dapat memberi tenaga kepada komuniti melalui sokongan kami terhadap sukan ini.”

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi kami, Li-Ning Malaysia, menjadi penggerak di sebalik kejayaan piala badminton 3V3 kami yang pertama,” katanya.

Pada perlawanan akhir Piala 3V3 TotalEnergies x Li-Ning, GLS Team yang diwakili oleh Mohd Amirul, Mohd Zahir, Ooi Zi Heng berjaya memperolehi kejuaraan dalam kategori Lelaki bawah 30.

Bagi kategori Lelaki atas 30, Team Hou Hooi – Hong Chieng Hun, Ng Kean Kok dan Chow Pak Chuu meraih gelaran juara sementara, johan bagi kategori Berpasukan Campuran Terbuka dirangkul oleh Muar Star BC.

Google ads
Back to top button