Buletin

GR SUPRA 2023 DENGAN KOTAK GEAR MANUAL SUDAH TIBA!

Setelah sekian lama menanti, Toyota akhirnya secara rasmi membawakan penawaran transmisi manual kepada kereta sports pacuan roda belakang GR Supra.

Dari segi kuasa, Toyota GR Supra masih lagi kekal dengan enjin 2.0 liter (255 hp) atau enjin enam silinder sebaris 3.0 liter berkuasa 382 hp, namun penawaran transmisi manual hanya dikhususkan untuk model berenjin enam silinder sebaris sahaja.

Menurut Toyota, pasukan jurutera pembangun mengekalkan komponen sedia ada seperti perumah transmisi, aci pacuan dan gear, dan membuang beberapa elemen untuk penjimatan berat badan, serta didatangkan dengan klac berdiamater besar berprestasi tinggi.

Transmisi manual itu juga turut didatangkan dengan sistem iMT – perisian yang mampu mengoptimasikan penukaran gear dan boleh dimatikan menerusi mod pemanduan Sport.

Jika dibandingkan dengan Supra AT, nisbah akhir Supra MT telah dipendekkan daripada 3.15 kepada 3.46 untuk mengelakkan pecutan mula yang lembab.

Selain daripada itu, Toyota turut menala kembali suspensi, sistem anti-oleng serta sistem kawalan cengkaman selain mendatangkan fungsi baharu Hairpin+ yang membolehkan pemanduan gelongsor dibuat di laluan berliku.

Untuk pasaran Amerika Syarikat, Toyota turut menawarkan edisi terhad A91-MT yang mendapat kelengkapan khas seperti kerusi balutan kulit Cognac, tombol gear balutan Alcantara, lencana khas merah, strut brace dan angkup brek berwarna merah, rim bersaiz 19 inci Frozen Gunmetal serta dua warna eksklusif iaitu Matte White atau CU Later Gray.

Google ads
Back to top button