Buletin

PORSCHE 911 SPORT CLASSIC 2023 DEBUT, 550 PS, KOTAK GEAR MANUAL, 1250 UNIT SAHAJA

Buat mereka yang mahukan sebuah jentera Porsche yang moden, dan dilengkapi dengan kotak gear manual, usah risau.

Ini kerana Porsche baharu sahaja melancarkan model 911 Sport Classic 2023 (generasi 992) yang mengimbau kembali sejarah silam era 60-an dan 70-an, khususnya model asal 911 Carrera RS 2.7 tahun 1972.

Dibangunkan menggunakan asas daripada 911 Turbo S dengan badan lebar, 911 Sport Classic turut didatangkan dengan enjin 3.7 liter flat-six turbo berkembar yang mampu menjana kuasa setinggi 550 PS dan 600 Nm, namun dipadankan dengan kotak gear manual tujuh kelajuan dan pacuan roda belakang.

Menjadikannya model 911 manual yang paling berkuasa.

Secara standard, pembeli akan mendapat kelengkapan seperti sistem brek seramik, kawalan casis dinamik, stereng gandar belakang, serta sistem pengurusan suspensi aktif.

Namun, elemen yang membuatkan 911 Sport Classic ini lebih menonjol adalah kehadiran spoiler ekor itik yang memberikan penghormatan buat model 911 Carrera RS, diikuti dengan rekaan bumbung CFRP jenis double-bubble mengingatkan kita kepada model Sport Classic generasi 997.

Tidak ketinggalan, rim lima jejari 20 dan 21 inci yang diinspirasikan daripada rim klasik Fuchs, serta decal jalur grafik pada bahaguan hud, bumbung dan spoiler ekor itik yang disebutkan tadi.

Ruang kabin pula menempatkan penggunaan bahan kulit semi-aniline, diikuti dengan bahan fabrik pada bahagian tengah kerusi, panel pintu dan juga trim kayu.

Selain daripada itu, takometer analog juga turut diberikan elemen retro.

Sebanyak 1,250 unit sahaja yang akan dihasilkan untuk pasaran global, di mana pembeli boleh mendapatkan warna seperti Black, Agate Grey Metallic, Gentian Blue Metallic atau Sport Grey Metallic, serta jam tangan bertemakan Sport Classic.

Google ads
Back to top button