BMW E34 M5 WAGON INI DIPASANG DENGAN ENJIN SUPERCAR MCLAREN F1
McLaren F1 adalah supercar yang dibangunkan oleh pemain utama dalam industri perlumbaan F1 iaitu McLaren Cars berjaya menempatkan nama sebagai sebuah supercar idaman ramai sebaris dengan Ferrari dan juga Lamborghini.
Tapi berbeza dengan Ferrari dan juga Lamborghini, McLaren F1 menggunakan enjin buatan BMW V12 6100cc aspirasi normal yang menghasilkan 618 kuasa kuda dan 680Nm tork dengan kod enjin S70/2. Enjin ini dibina khas oleh Paul Roche, Ketua BMW M bahagian enjin yang membina dan menala enjin ini khas untuk McLaren
McLaren mahukan enjin aspirasi normal kerana mahukan pemandu ada kawalan penuh pada kereta, bukan turbo, enjin dengan teknologi hampir sama dalam perlumbaan, ringkas dan boleh diharap. Enjin ini datang dengan teknologi pemasaan injap dan sistem aliran minyak pelincir dry sump
Tapi sebelum enjin yang berkuasa ini dipasang pada supercar McLaren F1, ia mestilah diuji sehabis mungkin di jalan raya dulu. Ketika ini BMW M memutuskan untuk memasang enjin ini pada sebuah kenderaan prototaip iaitu BMW E34 M5 Wagon. Hanya sebuah sahaja wagon prototaip ini dibina dan masih lagi wujud
Perkara ini diakui oleh David Clark iaitu Pengarah McLaren Road & Race Cars antara tahun 1994-1998 ketika temubual podcast beliau bersama-sama hos Top Gear iaitu Chris Harris. Malah David pernah memandu kereta prototaip ini beberapa kali dalam ujian dan berpendapat prestasinya sangat luar biasa
Bayangkan sebuah wagon untuk kegunaan keluarga dipasang dengan enjin V12, menjana sehingga 618 kuasa kuda dan 650Nm tork. Walaupun angka ini adalah biasa bagi kereta sport moden terutama dengan teknologi elektrik, tapi 30 tahun lepas angka ini adalah luar biasa.
Ini kerana dalam keadaan standard, BMW E34 M5 ketika itu hanya menjana sekitar 311 kuasa kuda dan 360Nm tork sahaja. David mendedahkan BMW tersebut masih disimpan dengan baik oleh BMW sebagai koleksi prototaip mereka sehingga hari ini dan tidak pernah didedahkan kepada umum.
David turut mendedahkan program pembangunan McLaren F1 sebenarnya tidak menguntungkan sangat McLaren. David diarahkan oleh bosnya supaya mencari klausa dalam perjanjian agar BMW tidak mengenakan penalti pada McLaren kerana BMW sepatutnya menghasilkan 350 enjin. Tapi sehingga akhir program, hanya 106 enjin sahaja dibekalkan
McLaren F1 kekal sebagai salah satu ikon supercar yang dihasilkan oleh syarikat British dan pernah memenangi perlumbaan 24 jam Le Mans dengan beberapa modifikasi dan berdepan dengan beberapa kereta lumba prototaip khas Le Mans.