Buletin

BEREGU EMAS OLIMPIK WANITA INDONESIA DAPAT HONDA CITY HATCHBACK RS

Beregu wanita Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu yang merangkul pingat emas tunggal negara republik itu pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini, menerima pelbagai hadiah kemenangan susulan kejayaan mereka.

Antara hadiah yang paling berharga diterima kedua-dua pemain itu adalah kereta Honda City Hatchback RS yang disumbangkan oleh Honda Prospect Motor (HPM), ejen tunggal kereta jenama Honda di negara itu.

Harga kereta itu di pasaran Indonesia bermula dengan Rp289 juta (RM85,000).

Greysia menerima kereta Honda berwarna putih manakala Apriyani dianugerah unit berwarna merah. Warna yang dipilih buat mereka sebenarnya mewakili warna bendera merah dan putih Indonesia.

Menurut HPM, mereka memilih City Hatchback RS sebagai model untuk diberikan kerana karakternya yang ‘sporty’ sesuai dengan semangat juang pemain itu. Model itu dilancarkan di Indonesia sejak Mac lalu.

Selain hadiah kereta dari Honda, Greysia-Apriyani dijangka menerima bonus tunai dari kerajaan Indonesia dan beberapa syarikat swasta berjumlah Rp5 bilion.

Greysia-Apriyani menyelamatkan maruah Indonesia apabila memenangi emas beregu wanita selepas menewaskan beregu China, Chen Qingchen-Jia Yifan pada perlawanan penentuan pingat emas.

Selain emas badminton, Indonesia turut meraih satu perak dan tiga gangsa pada temasya Tokyo 2020 untuk menghuni tangga ke-55 keseluruhan. – HM

Google ads
Back to top button