Buletin

POCKET ROCKETMAN DEDAH WX-R VORTEQ BERNILAI RM300K BURU EMAS OLIMPIK

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mendedahkan jentera atau basikal yang akan digunakan untuk beraksi di Olimpik Tokyo 2020.

Dalam satu perkongsian di Instagram, Azizulhasni memuat naik video basikal sentuhan akhir model WX-R Vorteq yang akan menjadi ‘senjata’ utamanya nanti di Velodrom Izu.

Difahamkan, kos penyelidikan dan pembangunan (R&D) basikal WX-R Vorteq berwarna hitam dan perak itu mencecah RM13 juta.

Ia dibina khas bagi membolehkan dua jaguh basikal trek negara, Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, mempamerkan aksi terbaik pada temasya berkenaan nanti.

Kedua-dua mereka yang mengejar impian merangkul pingat emas itu akan dibekalkan tiga buah basikal setiap seorang untuk kegunaan di Olimpik itu nanti.

Azizulhasni pernah melakar sejarah apabila menjadi atlet berbasikal trek pertama negara memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil akan berlepas ke Tokyo pada 25 Julai ini.

Azizulhasni, 34 tahun telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) oleh Sultan Terengganu baru-baru ini.

Untuk rekod, basikal itu dihasilkan melalui pelaburan besar Institut Sukan Negara (ISN) dengan kerjasama syarikat United Kingdom, TOTALSIM Ltd. sejak empat tahun lalu yang menekankan teknologi aerodinamik dan berat fizikal basikal bagi menyesuaikan dengan karakter pelumba.

Harga sebuah basikal dianggarkan bernilai RM300,000.- Awani

Google ads
Back to top button