
HAFIZH SYAHRIN SERTAI WSBK MUSIM HADAPAN
Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengesahkan bakal memasuki cabaran baru dengan mengumumkan menyertai Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) musim depan.
Hafizh yang kini berada di Sepanyol untuk perlumbaan Grand Prix Valencia yang juga perlumbaan terakhir musim ini akan menyertai pasukan MIE Racing Honda Team menggunakan jentera CBR1000RR-R.
Berpengalaman lapan tahun beraksi di Kejuaraan Motosikal dunia dalam kelas Moto2 dan MotoGP, Hafizh, 27, akan bergandingan bersama pelumba Argentina, Leandro Mercado yang ketika ini berada di tangga ke-21 keseluruhan dalam carta pelumba bagi kelas perdana di WSBK, WorldSBK.

Perkembangan terbaru itu memberi khabar gembira buat peminat permotoran negara yang akan terus dapat melihat kelibatnya terus beraksi.
“Terima kasih kepada Midori Moriwaki kerana bertemu saya di Valencia, Kejuaraan Dunia terakhir saya sebagai pelumba Moto2.
“Saya yakin, kami akan bekerjasama dengan baik dan harap dapat mencatat keputusan bagus. Seperti biasa, saya akan melakukan yang terbaik.
“Ini adalah cabaran baharu buat saya, dan saya teruja untuk memulakannya. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua penaja, keluarga, rakan-rakan serta peminat yang berterusan memberi sokongan,” kata Hafizh. – HM/UTUSAN