Motosikal

SUPERBIKE HONDA CBR1000RR-R FIREBLADE MENAKJUBKAN – HAFIZH SYAHRIN

Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah kagum dengan jentera baharu Honda CBR1000RR-R Fireblade yang akan digunakannya pada penampilan pertama di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) bersama Mie Racing Honda.

Penilaian itu dilakukannya selepas mengharungi ujian pra musim selama dua hari di Litar Catalunya, Sepanyol.

Sesi ujian dua hari berlangsung dengan keadaan cuaca tidak menentu dan Hafizh melengkapkannya dengan berada di tempat ke-30 daripada 33 pelumba, mencatatkan masa sepusingan 1 minit 45.539 saat.

Pelumba berusia 27 tahun itu mengakui segala-galanya masih baharu untuknya terutama bagi mengenali karakter jentera Honda kerana sebelum ini dia hanya mempunyai pengalaman beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP).

“Tanggapan pertama saya mengenai Superbike Honda sangat menakjubkan memandangkan saya tidak pernah berpeluang menunggang motosikal ini.

“Semuanya baharu, bukan saja motosikal tetapi juga tayar, suspensi dan kru. Jadi kami semua perlu mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Hafizh berkata secara asasnya, sepanjang satu setengah hari pertama dalam keadaan litar kering, mereka hanya memasuki trek untuk pelarasan asas dan menggunakan pelarasan sama, tanpa menukar apa-apa.

“Adalah amat penting buat saya untuk mencatat beberapa catatan masa dan pada penghujungnya, apabila kami mahu menukar tayar baharu, hujan mulai turun.

“Saya berasa selesa dalam keadaan litar basah tetapi sudah pasti kami mahukan lebih baik dalam keadaan litar kering dan lebih pantas berbanding di sini.

“Kami akan berusaha dengan elektronik dan melakukannya di Aragon. Saya pasti kami akan lebih pantas dan mampu mengurangkan jurang masa yang ada,” ujarnya.

Hafizh dijadual menyertai satu lagi ujian di Litar Aragon dari 4 hingga 5 April ini dan ia akan menjadi pentas terakhir ujian sebelum saingan musim membuka tirainya di litar sama tiga hari kemudian. – HM

Google ads
Back to top button