MAX BIAGGI KINI BERGELAR LAGENDA MOTOGP – INILAH RAJA 250CC 2-LEJANG DUNIA
Max Biaggi kini secara rasmi telah diberikan gelaran lagenda MotoGP dan sekali gus memahat nama beliau di MotoGP Hall of Fame. Majlis penganugerahan gelaran tersebut dilangsungkan di litar Autodromo Internazionale del Mugello merupakan lokasi terbaik untuk menghargai Biaggi yang merupakan antara pelumba motosikal terbaik pernah beraksi dalam perlumbaan MotoGP.
Pingat lagenda MotoGP diserahkan kepada Biaggi oleh CEO Dorna, Carmelo Ezpeleta pada dan dihadiri oleh beberapa tokoh-tokoh terkenal dari perlumbaan MotoGP. Malah mesej video istimewa kiriman Putera Albert II dari Monaco turut menjadikan acara tersebut lebih bermakna.
Berbanding pelumba lain, karier Biaggi dalam saingan MotoGP bermula agak lewat pada usia 18 tahun. Namun beliau mempamerkan kebangkitan yang luar biasa sebaik menyertai perlumbaan GP pertama pada tahun 1991 dan terus mendapat mata.
Kemenangan pertama beliau dalam kelas 250cc dicapai dalam tahun 1992 dan menjelang tahun 1994, Biaggi yang diberi gelaran Emperor Roman terus bergelar juara dunia 250cc untuk kali pertama. Ia juga merupakan kejuaraan pertama Aprilia dalam kelas 250cc.
Kegemilangan Biaggi tidak berhenti setakat itu sahaja malah beliau terus menguasai kelas 250cc selama 4 tahun berturutan sehingga tahun 1997 menjadikan beliau antara tokoh pelumba 250cc terbaik pernah dilahirkan sepanjang perlumbaan MotoGP.
1998 menyaksikan penghijrahan Biaggi ke kelas 500cc dan menariknya beliau juga menempa kemenangan dalam perlumbaan pertama beliau. Beliau mendapat empat kedua pada tahun tersebut dan terus berlumba dengan bergaya dalam kelas premier dengan kedudukan lima teratas setiap kali perlumbaan.
Sayangnya Biaggi tidak pernah menjuarai kelas premier tetapi rekod 4 kemenangan berturut kelas 250cc sudah membuktikan kehebatan beliau kepada dunia. Bayangkan jualan motosikal Aprilia RS125 dan RS250 laku macam goreng pisang panas pada penghujung tahun 90-an dahulu gara-gara sensasi yang dibawa oleh Max Biaggi. Berderet boh malam minggu di Damansara Uptown geng-geng Aprilia dulu. Sekarang dah ada cucu kot semua.
Sewaktu Biaggi meninggalkan perlumbaan GP beliau telah mencipta rekod 42 kemenangan dengan 11 daripadanya dalam kelas premier, 111 kali menaiki podium dan 56 kali mendapat petak pertama.
Namun karier Biaggi jauh dari berakhir kerana beliau kemudiannya berhijra pula ke perlumbaan WSBK dan berjaya merangkul 21 kemenangan dan 71 kali menaiki podium sekaligus merangkul kejuaraan WSBK sebanyak dua kali untuk musim 2010 dan 2012. Fuh, dua kejuaraan dunia tuan-tuan, GP motosikal dia tapau WSBK pun dia sapu sekali.
Untuk rekod Biaggi merupakan pelumba ketiga dari Itali yang memiliki rekod podium terbanyak di belakang Valentino Rossi dan Giacomo Agostini. Biaggi juga merupakan satu daripada dua pelumba yang berjaya merangkul kejuaraan dalam perlumbaan GP motosikal dan WorldSBK. Seorang lagi ialah John Kocinski (250cc/1990 dan WSBK/1997).