BuletinMotosikal

HAFIZH SYAHRIN YANG GEMENTAR DAN DUA MATA YANG BELIAU TIDAK JANGKA PUN!

Malam tadi adalah malam bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia dan sukan permotoran khususnya. Hafizh Syahrin atau dikenali Pescao55 berjaya menamatkan perlumbaan di tangga ke 14 dengan mengutip 2 mata.  Ia adalah perlumbaan MotoGP beliau yang pertama!

Hafizh menamatkan perlumbaan malam tadi dengan prestasi konsisten dan cemerlang. Bermula pada petak ke-15, Hafizh mengakui bahawa beliau masih gementar berada dalam kelas premier dan memerlukan masa menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berbeza.

BACA: DUCATI UNGGULI MOTOGP QATAR

“Saya berasa sedikit gementar dalam perlumbaan ni. Saya tak nak buat sebarang kesilapan dan akhirnya jatuh”, ujar beliau.

“Mendapat dua mata dalam perlumbaan pertama sememangnya tak saya jangka pun. Terima kasih tak terhingga kepada seluruh pasukan kerana mereka lakukan yang terbaik”

Hafizh bermula dengan baik seawal perlumbaan pada posisi 15, 16 dan 17 kemudian bertukar posisi 15 dan 16 beberapa kali. Jelas dalam perlumbaan ini, beliau cuba mendapat rentak dan lebih berhati-hati.

Hafizh dilihat konsisten mengekalkan kedudukan supaya dapat menghabiskan perlumbaan pertamanya dengan sempurna.

Tuah menyebelahi beliau apabila tiga pelumba di hadapannya terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal membolehkan kedudukan beliau melonjak ke tangga ke-14 keseluruhan.

“Pada tujuh pusingan terakhir, saya menukar mod kuasa pada motosikal dan empat pusingan kemudian, saya tukar semula. Saya masih mempelajari sistem elektronik motosikal ini dan apa yang penting, saya mahu fokus tanpa membuat sebarang kesilapan” 

“Membawa dua mata kepada pasukan betul-betul buat saya gembira. Saya berharap dapat memperbaikinya pada pusingan kedua nanti dan berharap dapat memberi saingan lebih sengit pada pelumba lain”

Pelumba Ducati, Jorge Lorenzo menghadapi masalah brek dan beliau terbabas di lap ke 10. Alex Rins pelumba harapan Suzuki yang berada di kelompok hadapan terbabas ketika cuba memintas posisi keenam dari Danilo Petrucci. 

Espargaro pula menghadapi masalah sistem bahanapi pada lap 19 memaksa beliau masuk ke paddock pada minit-minit akhir.

 

 

 

 

 

 

 

Google ads
Back to top button