
HONDA MAHU KE ANGKASA BUAT KAJIAN!
Selepas darat dan air, Honda mahu terbang lebih tinggi. Bukan setakat udara yang Honda sudah terbang melalui HondaJet tetapi angkasa lepas!
Honda R&D Co., Ltd. mengumumkan rancangan untuk menguji sistem elektrolisis air bertekanan tinggi di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Honda akan bekerjasama dengan syarikat ruang angkasa dan teknologi terkemuka, Sierra Space dan Tec-Masters.
Projek ini adalah sebahagian daripada visi Honda untuk sistem sel bahan api regeneratif yang dapat menyediakan storan tenaga termaju yang mampu menyokong kehidupan manusia di permukaan bulan.
Honda memanfaatkan puluhan tahun kepakaran teknologi sel bahan api hidrogen untuk membangunkan sistem sel bahan api regeneratif.
Teknologi ini dikenali sebagai sistem tenaga boleh diperbaharui berkitar (circulative renewable energy system) yang akan menghasilkan oksigen, hidrogen dan elektrik secara berterusan.
Honda menyasarkan sistem ini sebagai sebahagian daripada infrastruktur untuk penghunian manusia yang berterusan di bulan dengan memanfaatkan sumber yang ada seperti cahaya matahari dan air.
Dengan meningkatkan prestasi sistem tenaga boleh diperbaharui berkitar, penambahbaikan boleh dilakukan pada sel bahan api regeneratif jangka hayat panjang.
Sel bahan api ini boleh digunakan sebagai sumber tenaga yang boleh diperluas, bersih, dan boleh diperbaharui, baik di angkasa mahupun di bumi.
Operasi sistem tenaga boleh diperbaharui berkitar
Semasa Hari Siang (Lunar Day):
- Sistem akan menggunakan elektrik yang dihasilkan oleh matahari untuk mengoperasikan proses tersebut.
- Sistem elektrolisis air bertekanan tinggi Honda akan menghasilkan hidrogen dan oksigen daripada air.
Semasa Hari Malam (Lunar Night):
- Apabila bulan tidak menerima cahaya matahari, sebahagian daripada oksigen akan digunakan oleh angkasawan untuk bernafas.
- Sistem sel bahan api Honda akan menggunakan baki oksigen yang tinggal, bersama hidrogen yang dihasilkan semasa Hari Siang untuk menghasilkan elektrik.
Proses Penjanaan Elektrik:
- Selepas sel bahan api menghasilkan elektrik, satu-satunya produk sampingan adalah air.
- Air ini akan dikitar semula ke dalam sistem elektrolisis air untuk mewujudkan kitaran tenaga tertutup.
Perbandingan dengan Sistem Solar Rumah:
- Proses ini serupa dengan operasi sistem solar rumah di bumi di mana elektrik solar pada waktu siang digunakan dan tenaga berlebihan disimpan dalam bateri untuk menyediakan kuasa sepanjang malam.
Ujian di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS)
Honda telah membangunkan sistem elektrolisis air canggih yang direka untuk menyokong operasi jangka panjang di bulan dengan keutamaan kepada kecekapan dan ketahanan.
Reka bentuk sistem yang ringan dan kompak ini memenuhi keperluan penting untuk mengurangkan kos pengangkutan dalam pembangunan di bulan.
Selain itu, kerana ia tidak melibatkan pemampatan mekanikal, keperluan penyelenggaraan dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan untuk misi yang lebih panjang.
Dengan membolehkan penyimpanan gas bertekanan tinggi dalam bekas yang lebih kecil, sistem ini juga mengurangkan keperluan untuk mengangkut dan mengurus sejumlah besar tangki.
Honda akan menguji bahagian teras sistem elektrolisis air bertekanan tinggi untuk mengesahkan kecekapan dan ketahanan sistem tersebut dalam persekitaran mikrograviti di ISS.
Untuk ujian di ISS, Honda bekerjasama dengan Sierra Space, sebuah syarikat angkasa komersial terkemuka di dalam inovasi dan komersialisasi angkasa.
Honda juga bekerjasama dengan Tec-Masters, penyedia penyelesaian saintifik dan teknologi yang inovatif.
Sierra Space akan menjadi penyelaras utama misi angkasa, bekerjasama dengan NASA untuk mengangkut bahan menggunakan pesawat angkasa Dream Chaser® milik Sierra Space.
Dream Chaser satu-satunya pesawat angkasa komersial di dunia. Tec-Masters pula akan menjadi pakar teknologi di ISS.
Bahagian Pembangunan Angkasa Honda Amerika Syarikat
Pada akhir 2024, Honda menubuhkan Bahagian Pembangunan Angkasa di Honda Amerika untuk menggalakkan pembangunan teknologi di Amerika Syarikat (AS) dan memperkukuh kerjasama dengan industri angkasa AS.
Kakitangan dari AS dan Jepun bekerjasama rapat untuk memanfaatkan teknologi utama Honda dan menggunakannya dalam memperluas aktiviti manusia serta pembangunan di permukaan bulan.
Inisiatif pembangunan angkasa ini menggambarkan komitmen Honda dalam mencipta masa depan yang mampan melalui teknologi inovatif dan kerjasama.