HARGA BARU MINYAK AKAN DIUMUMKAN ESOK
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberitahu bahawa penetapan harga baru minyak akan dibuat esok, selepas selesai mempengerusikan mesyuarat kabinet.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menghadiri ‘Program Back to School eKasih Langkawi ‘ di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang di Langkawi, Kedah.
“Kita suka harga minyak rendah, ia menguntungkan pengguna, namun kita juga perlu ambilkira pandangan dan perniagaan yang dijalankan oleh pengusaha minyak. Mereka berniaga dan perlu membuat untung juga”
BACA: HARGA RON 95 KEKAL RM2.20 SELITER
Terdahulu, Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) membantah cadangan penetapan harga runcit petroleum secara mingguan. Lantaran itu, Jemaah Menteri akan mengadakan mesyuarat pada 2 Januari dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mencapai kata putus.
Mengikut peracangan sebelum ini, bermula 1 Januari, penetapan harga petron 95 akan dibuat secara mingguan mengikut kaedah sebelum ini. Bagaimanapun, mekanisme ini diperbaiki dengan menetapkan harga siling di mana harga paras maksimum pada RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel walaupun apa juga harga minyak mentah dunia.
Buat masa ini harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel masing-masing kekal pada paras RM2.50, RM2.20 dan RM2.18 seliter.