
KIA CIPTA REKOD DALAM TEMPOH 32 TAHUN DI UK, 100 RIBU JUALAN PADA 2022!
Kia UK Limited berjaya mencipta rekod baharu dengan mencatatkan jualan melebihi 100,000 unit pada 2022 yang merupakan angka tertinggi di dalam sejarah 32 tahun di United Kingdom (UK).
Jualan pada Disember berjumlah 3,450 unit seterusnya membantu Kia mencapai angka 100,191 unit pada 2022.
Pengeluar dari Korea itu berada pada tangga keenam keseluruhan dan kedudukan tertinggi setakat ini dengan rekod penguasaan pasaran sebanyak 6.2 peratus dan paling besar dalam sejarahnya di UK.

Sejak mula bertapak di UK pada Julai 1991, jualan Kia telah pun menghampiri 1.4 juta unit di Britain.
Susulan cabaran besar yang dihadapi dalam tempoh dua tahun berturut-turut, 2022 bermula cemerlang dengan jualan 32,119 unit pada suku pertama dan meletakkan Kia pada kedudukan pertama di UK.
Kejayaan itu didorong pelancaran Sportage generasi kelima dan juga penguasaan Picanto di dalam segmen A untuk beberapa bulan.
Kia memperkenalkan Sportage PHEV pada Mac yang menarik minat individu yang diberi faedah kereta syarikat melalui insentif pencukaian Benefit-in-Kind (BIK) sebanyak lapan peratus.

Pada suku berikutnya, Kia meneruskan momentum jualan dan secara konsisten menduduki tangga kelima teratas.
Pada Julai, Niro baharu diedarkan ke bilik pameran Kia dan tempahan untuk varian hibrid, hibrid plug-in dan elektrik mula dibuka.
Menjelang September, Kia berada di kedudukan keempat terlaris dengan penguasaan pasaran sebanyak 6.8 peratus yang dibantu jualan Sportage dan Niro baharu dan mencatatkan jualan lebih 44,000 unit.
Kedua-dua model itu mendominasi segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak.

Pada hujung September, Kia berjaya menjual 83,105 unit kenderaan dan berada di laluan yang betul bagi memenuhi sasaran jualan 100,000 unit menjelang akhir tahun.
Pada suku akhir 2022, jualan terus berkembang dan mencatatkan angka 100,191 unit pada hujung Disember dengan penguasan pasaran sebanyak 6.2 peratus dan menduduki tangga keenam terbaik.
Pencapaian itu dibantu prestasi jualan berterusan model popular dan juga pengenalan Xceed baharu dalam varian petrol dan hibrid plug-in.
Satu lagi pencapaian menarik apabila jualan model elektrifikasi seperti hibrid, hibrid plug-in dan kenderaan elektrik (EV) mencecah 42,988 unit atau 43 peratus daripada jualan keseluruhan.

Berdasarkan sejarah, Kia mencatatkan rekod jualan 500,000 unit pada Jun 2013 dan tertinggi sejak 1991.
Angka 750,000 unit dicapai pada April 2016 dan jualan bersejarah sejuta unit berjaya diperolehi pada Januari 2019.
Sebelum pencapaian pada 2022, jualan terbaik Kia UK ialah pada tahun 2019 dengan jumlah 97,323 unit dan ketinggalan sedikit sahaja berbanding sasaran jangka masa panjang 100,000 unit.
BACA: TIADA LAGI KIA STINGER DI UK, GANTI DENGAN EV6 GT YANG LAGI BERKUASA!
BACA: KIA RIO 2023 DI AS, HARGA MULA AS$16.4K (RM76.4K)
BACA: KIA MALAYSIA MULA HASILKAN CARNIVAL CKD DI KILANG INOKOM KULIM






