Artikel Pilihan

HARTGE, PENGELUAR KERETA YANG RARE.

Pada sekitar 80an dan 90an, industri automotif berkembang pesat di serata dunia. Disebabkan kepesatan industri, ini mendorong kewujudan syarikat-syarikat bebas yang menawarkan kepakaran bagi menaiktaraf jentera.

Syarikat-syarikat ini tumbuh bagai cendawan selepas hujan di setiap benua. Mungkin kita di Malaysia ini sangat kenal dengan jenama dari negara matahari terbit seperti JUN, Greddy, HKS, Mugen dan lain-lain lagi.

Namun, persaingan di benua Eropah tidak kurang hebatnya dengan wujudnya jenama seperti Hartge, Alpina, Hamman, Mansory, Brabus, AMG dan lain-lain lagi.

Cuma hari ini kita mahu mengupas tentang sebuah syarikat dan jenama yang bernama Hartge dari Jerman.

Sejarah Hartge bermula apabila ia ditubuhkan oleh Herbert Hartge pada tahun 1971 di Merzig, Jerman. Syarikat ini dikenali dengan kerja-kerja modifikasi khusus kepada jenama BMW, Mini, Range Rover dan Juno. Cuma Hartge ini lebih sinonim dengan BMW.

Pada awalnya, Hartge cuma fokus pada kerja modifikasi enjin serta kosmetik pada jentera-jentera BMW. Antara komponen-komponen yang dikeluarkan oleh Hartge adalah seperti berikut :-

  • Camshaft
  • Exhaust Manifold
  • Individual Throttle Body
  • ECU Tuning
  • Rocker Cover
  • Sport Rim
  • Steering Wheel
  • Bodykit (Pre-Facelift & Facelift)
  • Badges
  • Gauges

Tak banyak sangat pun sebenarnya.

Kemuncak kejayaan Hartge adalah pada tahun 1985 apabila German Motor Vehicle Authority (KBA) atau senang dikenali dengan Kementerian Pengangkutan meluluskan permohonan Hartge untuk menjadi pengeluar kenderaan. Hal ini bermakna, setiap unit yang dikeluarkan oleh Hartge akan dikenali sebagai Hartge. Bukan BMW.

Walupun sudah mencapai taraf pengeluar, pengeluaran jentera-jentera Hartge tidak diproduksikan pada skala besar. Modal menjadi kekangan utama. Disebabkan itulah unit-unit Hartge ini sekarang harganya mencanak tinggi disebabkan stok yang terhad.

Ini barulah “Rare”

Model-model keluaran Hartge bermula pada produksi BMW E30 dan BMW E28 5 Series. Pihak Hartge mengambil chassis 323i dan 325i untuk diproduksi menjadi model-model berikut :-

  • Hartge H23
  • Hartge H26 (323i)
  • Hartge H26 (325i)
  • Hartge H27
  • Hartge H27SP
  • Hartge H28
  • Hartge H35
  • Hartge H35-24

Ada 8 model Hartge berasaskan chassis BMW E30. Namun, hanya Hartge H35-24 sahaja yang menggunakan chassis BMW E30 M3. Dan yang menariknya produksi jentera ini hanya 6 unit sahaja. Model yang lain pun tidak kurang “Rare”nya. Produksi bagi setiap model hanya dalam lingkungan 35 unit hingga 50 unit sahaja. Maaf tiada angka rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Hartge.

Kenapa boleh tiada angka rasmi ? Rakkan tiada rekod ?

Ini juga lah kelemahan Hartge. Nak cakap kelemahan pun tak boleh sebab ini menguntungkan pengguna. Macam ni sebenarnya.

Pihak Hartge menawarkan secara terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu membeli “Hartge Kit” dan memasang sendiri pada kenderaan. Diatas saya sudah senaraikan komponen-komponen yang dikeluarkan oleh Hartge. Semua komponen tersebut boleh dibeli di pasaran terbuka.

Senang cakap, korang boleh buat sendiri “Hartge” korang. Benda pertama korang perlu ada cuma chassis BMW E30. Sebiji enjin siap pasang semua pun boleh dibeli. Antara enjin ikonik dari Hartge adalah enjin berkod MB9E, MB16E dan MB18E.

Jadi, inilah sebab agak sukar untuk merekodkan bahawa model-model Hartge yang wujud ini adalah “Factory Build” atau “Custom Build”. Walaupun ada “VIN Plate”, benda ni boleh ditiru secara bulat-bulat.

Selepas era BMW E30 berakhir, pihak Hartge tidak lagi fokus pada modifikasi tertumpu kepada satu model sahaja. Mereka kali ini cuba melakukan sesuatu yang berbeza. Idea gila yang keluar daripada pihak pengurusan Hartge adalah cuba memasukkan sebesar-besar enjin ke sekecil-kecil chassis.

Hasilnya ?

Wujudlah Hartge H1. Hartge H1 dibuat dari chassis asal BMW E87 130i dan dikahwinkan dengan enjin S62 V8 dari BMW E39 M5. Kuasa yang dihamburkan pula adalah 450hp dan daya kilas sekuat 510Nm. Kelajuan tertinggi pula adalah 300km/h.

Bukan itu sahaja, berikut adalah model-model Hartge era moden :-

  • Hartge H6 (Chassis BMW E63 650i)
  • Hartge H50 (Chassis BMW E90 330i)
  • Hartge 325d Coupe (Chassis BMW E92 325d)
  • Hartge 330d (Chassis BMW E91 330d)
  • Hartge 535d (Chassis BMW F10 535d)
  • Hartge X5 Hunter 30d (Chassis BMW E70 X5 xDrive30d)
  • Hartge X6 xDrive35d (Chassis BMW X6 E71 xDrive35d)

Sebenarnya ada beberapa lagi barisan model dari Hartge, cuma malangnya kekangan akses dari pihak Hartge sendiri untuk mendapatkan data tepat tentang barisan model serta jumlah produksi.

Cuma barisan model yang dinyatakan diatas, semuanya laju-laju belaka. Keljuan tertinggi adalah dari 210km/h sehingga 325km/h. Gila tak laju.

Cuma pendapat peribadi saya, disebabkan Hartge sangat fokus pada pembangunan enjin, aspek kosmetik tidak dititikberatkan. Sebagai contoh, Hartge H6 menerima banyak kritikan disebabkan rupanya yang hodoh. Tidak seperti Alpina dimana setiap barisan modelnya cantik-cantik belaka.

Tidak terhenti disitu, Hartge juga ada membuat “One-Off” model seperti Hartge F1 yang menggunakan chassis Mercedes Benz W124 yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 330hp dan Hartge Compact V8 4.7 dari chassis BMW E36 323ti yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 345hp.

Memang gila Hartge ni dari dulu. Kalau sekarang biasa dah proses “Engine Swap” ni. Lagi-lagi jentera JDM. Rupa-rupanya Mat Saleh Eropah dari dulu dah bermain dengan benda ni. Siap didaftarkan secara sah pula tu dibawah lesen pengeluar.

Namun langit tak selalunya cerah. Hartge gagal untuk mendapat untung. Syarikat ini diisytihar tutup pada tahun 2019 dan segala lesen pengeluar serta perniagaan telah ditarik. Walaupun begitu, ia meninggalkan legasi serta sejarah yang tidak mampu dilupakan dan akan kekal sebagai sejarah.

Idea-idea gila yang dimulakan oleh Hartge ini merupakan yang pertama di dalam sejarah. Mereka yang memulakannya. Sekarang idea-idea “Engine Swap” seperti ini diteruskan oleh seteru mereka. Bukan Alpina mahupun AC Schnitzer, tetapi G-Power yang juga berasal dari Jerman.

Di Malaysia ramai yang celik serta minat dengan jenama Hartge. Apa yang saya boleh katakan sekarang, “Happy Hunting” kerana barang-barang Hartge sekarang seperti emas. Harganya naik mencanak-canak. Pasaran Hartge bukan domestik, tetapi global.

Hartge adalah Hartge. Bukan BMW
Alpina bukan BMW
Brabus bukan Mercedes Benz
RUF bukan Porsche
Gemballa bukan Porsche

Nampak sama, tapi bukan dia.

Google ads
Back to top button