Motosikal

HLYM PREBIU SKUTER ELEKTRIK E01. 80KM SEKALI CAJ, HARGA MACAM X-MAX

Sempena acara Karnival Yamaha GenBlu di Lumut Perak, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mempamerkan motosikal elektrik pertama Yamaha E01 di sana.

Mula diperkenalkan di peringkat global pada Januari lalu, jentera berkenaan sedang diuji untuk melihat kesesuaianya sebelum dipasarkan di pasaran tempatan.

Skuter elektrik tersebut dibangunkan di bawah konsep “Plugged Yamaha to new era” yang menawarkan praktikaliti seperti sebuah skuter berkapasiti enjin 125cc. Sehingga kini, ia masih belum dijual di mana-mana pasaran, termasuklah Jepun.

E01 dibina di atas platform skuter Yamaha NMAX, sebab itulah saiz, reka bentuk dan posisi tunggangannya tidak jauh berbeza.

Bahagian hadapan diserlahkan dengan sepasang lampu LED nipis. Di tengahnya terdapat port pengecasan yang boleh dibuka apabila butang pada bahagian bawah kunci ditekan.

Jentera itu boleh dicaj menerusi tiga cara iaitu menerusi wallbox AC yang memerlukan masa selama enam jam, pengecasan pantas DC (1 jam) dan menggunakan pengecas mudah alih yang memakan masa sehingga 15 jam.

Dipasang dengan bateri berkapasiti 4.9kWh, ia boleh bergerak sejauh 80km apabila dicaj penuh. Penunggang boleh memilih mode tunggangan sama ada Eco yang menawarkan pecutan 65km/j, Normal (100km/j) dan Power 1-5km/j.

Sebagai sebuah skuter moden, ia dilengkapi ciri eSIM 3G/LTE dan GPS yang akan merekod perjalanan anda. Kunci pintar yang ada membolehkan urusan menghidup dan mematikan enjin jadi lebih mudah.

E01 dilengkapi rim aloi bersaiz 13 inci yang dibalut oleh tayar 110/70/13 dengan sistem brek ABS dua saluran pada roda hadapan dan belakang.

Masih belum dapat dipastikan bilakah HLYM akan menawarkan E01 ke pasaran. Dari segi harga pula, ia dianggarkan sekitar sebuah X-MAX iatu RM25,000 seunit.

Apa pun, tunggu kemas kini daripada kami.

GALERI

Google ads
Back to top button