Buletin

KEMUNCULAN KIA TASMAN CETUS TANDA TANYA, BAKAL MASUK PASARAN TEMPATAN?

Kemunculan trak pikap baharu, Kia Tasman di bilik pameran Kia di Glenmarie baru-baru ini mula mencetuskan persoalan sama ada model berkenaan bakal diperkenalkan secara rasmi ke pasaran Malaysia.

Model trak pikap pertama keluaran Kia itu sebelum ini membuat debut global pada Oktober 2024 dan dilaporkan menerima sambutan menggalakkan di Korea Selatan apabila mencatat jualan sekitar 4,000 unit hanya dalam tempoh 17 hari pertama pelancarannya.

Buat masa ini, Kia hanya mengesahkan pelancaran Tasman untuk pasaran Korea Selatan sebelum diperluaskan ke Australia, Afrika dan Asia Barat.

Namun, pasaran ASEAN dikatakan masih dalam peringkat penilaian.

Tasman juga menjadi model pertama dalam kumpulan Hyundai Motor Group yang dibangunkan sebagai trak pikap satu tan menggunakan casis ladder frame sepenuhnya.

Seperti pesaing lain dalam segmen sama, Tasman ditawarkan dalam versi single cab dan double cab dengan keupayaan membawa muatan melebihi 1,000 kilogram serta kapasiti menunda sehingga 3,500 kilogram. Beban maksimum pada tow ball pula dinilai sehingga 350 kilogram.

Dari aspek kemampuan lasak, semua varian Tasman mampu meredah air sedalam 800mm pada kelajuan sehingga tujuh kilometer sejam menerusi sistem kemasukan udara khas yang ditempatkan di bahagian fender hadapan.

Kuasa pula dijana menerusi pilihan enjin diesel Smartstream D 2.2 liter empat silinder yang menghasilkan 210PS dan 440Nm tork, selain enjin petrol turbo Smartstream G 2.5 liter dengan kuasa mencecah 281PS dan 421Nm.

Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, manakala varian diesel turut ditawarkan bersama kotak gear manual enam kelajuan.

Bergantung kepada varian, pembeli boleh memilih sama ada sistem pacuan roda belakang atau pacuan empat roda.

Bagi memastikan keselesaan pemanduan lebih baik, Tasman menggunakan suspensi hadapan double wishbone bersama gandar belakang jenis solid axle.

Kia turut melengkapkan trak ini dengan penyerap hentak frequency-selective serta teknologi Hydraulic Rebound Stop untuk mengurangkan getaran dan meningkatkan kestabilan.

Untuk pembeli yang gemarkan imej lebih agresif, Kia menawarkan varian X-Line dan X-Pro. Varian X-Pro hadir dengan tambahan mod Rock untuk pemanduan offroad, tayar all-terrain, suspensi ditinggikan 28mm, differential belakang electronic locking dan fungsi cruise control offroad X-Trek.

Dari segi rekaan, Tasman tampil dengan identiti tersendiri menerusi lampu hadapan dan belakang bersaiz kecil, gril “Tiger Face” yang besar serta bentuk badan berpetak bersama fender menonjol pada bahagian roda.

Versi double cab pula dikatakan menawarkan ruang kargo antara terbaik dalam kelas dengan kapasiti sehingga 1,173 liter. Ruang belakang itu turut dilengkapi lampu binaan dalam, lantai gelungsur serta soket kuasa 220V atau 240V.

Masuk ke ruang kabin, Tasman tampil lebih moden dan premium berbanding kebanyakan trak pikap sedia ada. Bahagian papan pemuka menggunakan gabungan bahan lembut bersama paparan digital yang terdiri daripada dua skrin 12.3-inci untuk kluster meter dan sistem infotainmen.

Kedua-dua skrin itu dipisahkan oleh paparan lima inci khusus untuk kawalan pendingin hawa seperti yang digunakan pada Kia EV9. Sistem audio lapan pembesar suara Harman Kardon turut disediakan bagi varian tertentu.

Antara ciri menarik lain termasuk dua pengecas tanpa wayar Qi, meja lipat pada konsol tengah, ruang simpanan tersembunyi di bawah tempat duduk belakang serta corong pendingin hawa khas untuk penumpang belakang.

Dari sudut keselamatan, Tasman turut dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemandu moden termasuk Highway Driving Assist 2 (HDA 2) yang menawarkan keupayaan pemanduan separa autonomi Tahap 2.

Bagaimanapun, persoalan sama ada Kia Sales Malaysia benar-benar akan membawa masuk Tasman ke pasaran tempatan masih belum terjawab.

Jika benar dilancarkan di Malaysia, faktor harga jualan dijangka menjadi penentu utama sama ada trak pikap dari Korea Selatan itu mampu memberi saingan kepada model sedia ada dalam segmen trak pikap tempatan.

Google ads
Back to top button