Buletin

PERODUA UNJUR TIV CAPAI SATU JUTA MENJELANG 2030

Perodua mengunjurkan jumlah volum industri (TIV) automotif Malaysia mencecah kira-kira satu juta unit menjelang 2030.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, menjelang 2030, sebanyak 20 peratus daripada jumlah volum itu dijangka terdiri daripada kenderaan elektrik (EV) atau XEV termasuk hibrid.

“Kami berpendapat menjelang 2030, 20 peratus daripada jumlah volum keseluruhan akan terdiri daripada EV atau XEV yang merangkumi hibrid,” katanya pada sidang media sempena lawatan Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata ke kilang Perodua di sini, semalam.

XEV ialah istilah industri yang merujuk kepada semua jenis kenderaan elektrik.

Beliau berkata, pembeli yang menggantikan kenderaan sedia ada dijangka merangkumi kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan pasaran kereta, manakala pembeli kereta pertama pula sekitar 30 peratus, yang kebanyakannya daripada generasi muda.

Zainal Abidin berkata, Perodua akan terus berusaha mengekalkan pegangan pasaran sebanyak 45 peratus daripada keseluruhan pasaran automotif negara.

“Kami berharap dapat menjadikan Malaysia sebagai negara hab bagi Daihatsu untuk peluasan pada masa depan. Kami boleh belajar daripada Daihatsu dan melaksanakan reka bentuk keseluruhan badan atas kenderaan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan syarikat Jepun meningkatkan pelaburan di Malaysia serta menghasilkan produk akhir mereka di negara ini bagi membantu menangani isu rantaian bekalan komponen kenderaan.

Daihatsu, syarikat pengeluar kereta kompak dari Jepun, memiliki pegangan sebanyak 20 peratus dalam Perodua. – Harian Metro

Google ads
Back to top button