
PERODUA RANCANG PRODUKSI ATIVA HIBRID CKD
Perodua merancang untuk memasang model hibrid Ativa secara tempatan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh teknologi automotif hijau di Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainal Abidin Ahmad berkata, pihak syarikat kini sedang memuktamadkan beberapa perkara penting termasuk jadual pengeluaran serta penetapan harga sebelum pengumuman rasmi dibuat kepada umum.
Menurut beliau, model hibrid bagi Perodua Ativa itu sememangnya akan diproduksikan di dalam negara, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan lebih besar dalam sektor pemasangan kenderaan cekap tenaga tempatan.

Dilancarkan pada Mac 2021, Ativa merupakan SUV segmen-B lima tempat duduk pertama Perodua yang menggunakan enjin turbo bersama transmisi CVT.
Model itu dibangunkan berasaskan platform Daihatsu Rocky dan Toyota Raize, selain dilengkapi pelbagai ciri keselamatan moden.
Dalam perkembangan sama, Zainal Abidin memaklumkan Perodua menerima sokongan dana sebanyak 1.5 bilion yen (lebih RM37 juta) menerusi Global South Fund bagi membantu pengembangan teknologi hibrid Jepun di Malaysia.
Mengulas kerjasama bersama Daihatsu bagi pembangunan kenderaan elektrik (EV), beliau berkata fokus utama ketika ini adalah memperkukuh infrastruktur serta rangkaian pengecas EV dalam negara.
Katanya, jumlah stesen pengecas yang masih terhad menjadi antara cabaran utama sebelum teknologi EV dapat diperluaskan secara lebih agresif di Malaysia. – The Star








