Pandu Uji

HONDA CITY BAHARU RM75,800 – RM90,800

Sejak diperkenalkan ke pasaran dunia pada tahun 1996, sedan entry level Honda ini telah mencatat jualan memberangsangkan dengan lebih 2.2 juta unit berjaya dijual di 55 buah negara.

Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (17)

Di Malaysia sahaja, lebih 145,000 unit telah terjual sejak ia diperkenalkan ke pasaran tempatan pada tahun 2001. Model ini juga dikatakan bertanggungjawab menaikkan nama Honda sebagai salah satu jenama automotif terkemuka di Malaysia.

Selepas India dan Thailand, Honda City generasi keempat ini akhirnya menemui pengguna tempatan. Dilancarkan secara rasminya oleh Honda Malaysia petang tadi, City dilihat menjadi tawaran paling menarik dalam segmen B buat masa sekarang.

Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (19)

Untuk menjangkau kelompok sasar yang lebih besar, buat pertama kalinya City ditawarkan menerusi empat varian iaitu Gred S, S+, E dan V. Jelas bahawa City berjaya menetapkan satu penanda aras baru dalam segmen sedan mampu milik dan berkualiti.

City dibina berasaskan kepada konsep Exciting H Design!!!. Huruf “H” bermaksud Human Center yang memberi penekanan ke atas pemandu dan penumpang. Rekaan bahagian hadapannya menampilkan wajah berbentuk sayap dan lampu utama Exciting H Design!!! yang mantap. Sementara bahagian belakang pula nampak lebar dengan gabungan lampu belakang serta tempat meletak plat yang sepadan.

Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (10)

Sedan ini dikuasakan oleh enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang telah ditambah baik. Berupaya menghasilkan kuasa maksimum 120PS @ 6,600 rpm dan tork puncak 145Nm @ 4,600 rpm, ia dipadankan dengan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT).

Kotak gear CVT terkini itu dibangunkan di bawah Earth Dream Technology Honda demi menawarkan kombinasi prestasi dan penjimatan bahan api yang sempurna. Ia menggantikan transmisi konvensional jenis torque converter lima kelajuan yang digunakan pada City generasi terdahulu.

Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (6)

Sebagai tambahan, mode ECON menjadi ciri standard pada semua varian City buat pertama kalinya. Ini bagi meningkatkan lagi penjimatan bahan api kenderaan dengan hanya perlu menekan satu butang sahaja.

Falsafah Man Maximum, Machine Minimum digunakan sebagai asas utama dalam pembangunan kereta ini. Memberi fokus terhadap aspek keselesaan, City menawarkan ruang kabin yang cukup luas terutama di bahagian belakang. City juga mempunyai kapasiti but paling besar dalam kelasnya iaitu 536L.

Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (5)

Bagi menambah kemudahan dan praktikalitinya, City dilengkapi pelbagai ciri termaju. Antaranya termasuklah sistem kemasukan pintar (Smart Entry), butang penghidup enjin, kawalan jelajah (Cruise Control), paparan audio bersaiz 7” dengan fungsi mirror link, 8 unit pembesar suara (paling banyak dalam segmennya), Meter Kombinasi Multi Maklumat, corong pendingin hawa untuk penumpang belakang, dua jack USB, 3 soket kuasa , lapan tempat meletak botol minuman dan kompartmen-kompartmen penyimpanan barang yang pintar.

Butang kawalan telefon bebas tangan dan pengecaman suara pada stereng disambungkan dengan sistem infotainmen kenderaan untuk memberi kemudahan di hujung jari pemandu.

Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (7)

City tidak berkompromi dengan aspek keselamatan terbaik. Maka, Honda Malaysia melengkapkannya dengan enam beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist, Emergency Stop Signal dan ISOFIX (bergantung kepada gred). Sedan ini boleh didapati dalam lima warna iaitu kelabu, perak, putih, hitam dan satu warna baru yang menarik iaitu biru.

Honda Malaysia menawarkan jaminan selama lima tahun dengan perbatuan tanpa had serta selang servis sehingga 10,000km demi memudahkan para pelanggan menjadikan City sebagai kenderaan pilihan mereka.

Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (2)

City serba baharu turut didatangkan dalam dua pakej yang terdiri daripada aksesori tulen Honda (RM1,700) dan Pakej Modulo Honda (RM3,200) untuk para pelanggan yang mahu mengubahsuai kenderaan mereka.

“City serba baharu ialah model pertama yang dilancarkan oleh Honda Malaysia pada tahun ini. Ia menggabungkan penampilan premium, pemanduan mengujakan, keselesaan dan ruang kabin yang luas bersama barisan ciri keselamatan yang mendahului kelasnya,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.

Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (18)

Ueno turut mengumumkan bahawa varian CKD hibrid akan ditambah pada separuh kedua tahun ini.

Dengan semua ciri tersebut, Honda Malaysia optimis untuk menjual 2,500 unit City sebulan. Malah, lebih 1,800 tempahan telah diterima. Itu belum termasuk maklum balas positif yang diterima sepanjang acara pra-pelancarannya pada bulan lalu. Jadi, sasaran itu bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dicapai. Tahniah Honda!

[hr]GALERI

Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (1)Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (3)Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (8)Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (4)Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (9)Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (11)Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (12)Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (13)Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (14)Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (20)Honda-City-RM75,800-RM90,800- mekanika (16)

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button