Buletin

HONDA HR-V 2023 UNTUK PASARAN US, EROPAH PUN DAPAT SEKALI

Apa yang anda lihat dalam artikel ini merupakan imej sebenar crossover Honda HR-V 2023 yang bakal dilancarkan oleh Honda dalam masa terdekat.

Berbeza daripada HR-V generasi baharu yang telah pun dijual di beberapa pasaran Eropah, Jepun dan juga Asean, HR-V 2023 ini membawakan pendekatan rekaan yang lebih konvensional.

Tiada sebarang info berhubung spesifikasi mahupun dimensi bagi crossover baharu ini, namun Honda HR-V disahkan mempunyai jarak antara roda yang jauh lebih panjang, dan dimensi yang lebih lebar disebabkan ia dibangunkan menggunakan platform Civic generasi ke-11.

Selain itu, Honda HR-V juga turut menjanjikan pemanduan yang lebih diperhalusi, meyakinkan dan menyeronokkan, ditambah pula dengan aspek dinamik dan tahap responsif enjin yang dipertingkatkan.

Berbanding HR-V sedia ada, HR-V baharu ini membawakan unit lampu depan LED yang terpisah daripada rekaan gril utama, rekaan tingkap yang jauh lebih besar, serta lokasi pemegang pintu normal pada pintu penumpang baris kedua.

Honda juga tidak mendedahkan rekaan terperinci ruang kabin HR-V 2023, namun Honda menyatakan crossover baharu ini bakal menawarkan tahap penglihatan yang cemerlang dari dalam ruang kabin – sama seperti apa yang ditawarkan pada model Civic.

Honda HR-V 2023 bakal dilancarkan secara rasmi pada musim panas tahun ini.

Galeri: Honda HR-V e:HEV (Thailand)

Google ads
Back to top button