Buletin

TONY GILROY, TOKOH PENYELAMAT LAND ROVER DAN BUAT MODEL DISCOVERY!

Land Rover yang dapat dilihat hari ini tampil dengan model premium, menarik dan sporti seperti Range Rover, Ranger Rover Sport, Velar, Evoque, Discovery dan Defender.

Puluhan tahun dulu Land Rover bukan seperti sekarang dan pernah mengalami cabaran akibat krisis ekonomi.

Individu yang berjaya mengubah dan menyelamatkan Land Rover pada tahun 80-an ialah Tony Gilroy dan berikut ialah kisah beliau.

Tony Gilroy berasal dari Cork, Ireland dan beliau seorang yang tegas.

Ketika bermesyuarat beliau mempunyai pengetahuan terperinci dalam setiap aspek perniagaan dan mampu mengenalpasti isu utama dan tindakan bagi menyelesaikannya.

Seperkara menarik, beliau menolak kelebihan seperti pemandu peribadi kerana percaya ianya kos yang tidak perlu untuk syarikat.

Beliau juga tidak mencari populariti namun mereka yang pernah bekerja dengannya sama ada di peringkat tinggi atau di kilang melihat beliau sebagai hero tidak didendang industri kenderaan Britain.

Tony memulakan kerjaya di Ford sebelum dilantik sebagai pengarah pengeluaran kilang kenderaan di Longbridge milik British Leyland.

Tony memainkan peranan penting di dalam pengenalan mini Metro pada tahun 1980 dan kemudian dinaikkan kepada pengarah urusan syarikat pengeluar van Freight Rover.

Tony diberikan tempoh enam bulan untuk memperbaiki syarikat atau menutupnya, beliau berjaya menyelamatkan syarikat.

Pada tahun 1983, beliau dilantik sebagai pengarah urusan Land Rover dan dalam masa beberapa bulan sahaja berjaya mengenalpasti kekurangan syarikat.

Tidak setakat itu, beliau juga membangunkan rancangan bagi membolehkan Land Rover berjaya.

Apa yang berlaku sebenarnya?

Pada masa itu 75 peratus perniagaan syarikat datang dari jualan Land Rover di Afrika, Timur Tengah, Timur dan Tenggara Asia.

Kejatuhan ekonomi Afrika dan penurunan pendapatan minyak bermakna pasaran tidak mampu lagi membeli Land Rover.

Tony percaya Land Rover perlu lebih berjaya di Eropah dan Australia dan paling penting, memasuki Amerika Utara dan Jepun yang merupakan pasaran kenderaan terbesar dunia.

Pada masa itu Land Rover tidak dijual di kedua-dua buah negara.

Untuk berjaya di Amerika Utara, Range Rover perlu menjadi kenderaan mewah dengan enjin lebih besar, dalaman dengan balutan kulit dan pelbagai ciri mewah lain.

Perubahan dan Land Rover Discovery

Tony juga mengenalpasti perubahan yang sedang berlaku di dalam pasaran kenderaan pacuan empat roda.

Kenderaan baharu yang dibangunkan syarikat Jepun seperti Toyota, Nissan dan Mitsubishi semakin berkembang di dalam pasaran pacuan empat roda dengan posisi di antara Land Rover dan Range Rover.

Dengan itu, Tony menubuhkan satu pasukan khas bagi membangunkan Land Rover Discovery dalam tempoh 36 bulan sahaja!

Pada masa itu kebanyakan pembangunan kenderaan baharu memerlukan lima tahun sebelum menjengah pasaran.

Apa yang Tony buat ialah membahagikan program pembangunan kepada beberapa bahagian di bawah kuasa kewangannya bagi mengelak campur tangan ibu pejabat British Leyland.

Guna komponen Range Rover

Suspensi dan casis Range Rover sedia ada digunakan termasuk komponen dari kenderaan Austin Rover.

Beliau berjaya membangunkan Discovery pada kos yang jauh lebih rendah berbanding pengeluar lain.

Pelaburan untuk Range Rover yang dipertingkatkan dan Discovery mampu dibuat hasil daripada perancangan Tony yang berjaya mengurangkan kos pengeluaran asas syarikat secara signifikan.

Beliau menjimatkan jutaan pound dengan menutup banyak kilang pembuatan komponen secara satelit dan memindahkan tenaga kerja ke kilang utama di Solihull.

Nak beli syarikat!

Kerajaan United Kingdom mahu menjual British Leyland dan Land Rover ditawarkan kepada General Motors dan memberikan kebebasan kepada Tony untuk menguruskannya.

Beliau mempunyai perancangan lain, menolak tawaran tersebut dan menyokong kempen Keep Land Rover British!

Menariknya Tony mahu membeli syarikat (management buy-out) dan hampir berjaya sehingga perdana menteri Margaret Thatcer campur tangan bagi menghalang Rover Group dijual sedikit demi sedikit.

Apa yang berlaku selepas itu lembaga pengarah Austin Rover Group dan Land Rover Group disatukan kepada lembaga pengarah Rover Group dan meletakkan Tony di kedudukan yang tidak munasabah.

Beliau meninggalkan syarikat pada penghujung 1988 dan ironiknya sebelum pelancaran model keluarannya, Land Rover Discovery.

Tony kemudian mengetuai Perkins Engines, iaitu sebahagian daripada syarikat Varity Group dari Amerika Utara.

Apabila syarikat disatukan kepada LucasVarity, Tony dilantik sebagai ketua pegawai operasi global dan bekerja di Amerika Syarikat dan Eropah.

Individu profilik itu meninggal dunia pada usia 85 tahun dan mempunyai legasi sebagai penyelamat Land Rover dan membangunkan satu daripada model paling berjaya dalam sejarah kenderaan Britain.

Beliau juga meletakkan asas kukuh kepada kejayaan Land Rover sebagai jenama global.

BACA: LAND ROVER DEFENDER 110 MENDARAT DI MALAYSIA. 2 VARIAN, HARGA BERMULA RM798K

BACA: LAND ROVER DEFENDER ADA MODEL HARD TOP, JIP MODEN GAYA RETRO!

BACA: LAND ROVER VELAR R-DYNAMIC BLACK, LAWA SANGAT!

Google ads
Back to top button