Buletin

HONDA MALAYSIA LANTIK PENGARAH URUSAN & KETUA PEGAWAI EKSKUTIF BAHARU – TOICHI ISHIYAMA

Honda Malaysia semalam mengumumkan Toichi Ishiyama bakal menggantikan Katsuto Hayashi sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baru berkuat kuasa 1 November 2017.

Ishiyama kini menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Honda Atlas Cars (Pakistan) Limited. Ishiyama, 48, telah memegang pelbagai jawatan di beberapa buah negara seperti Jepun, Amerika Syarikat, Thailand, China dan Pakistan ketika berkhidmat di Honda selama 28 tahun.

Dengan pengalaman luas dalam bidang penyelidikan pasaran serta perancangan produk, Ishiyama berhasrat untuk meneruskan momentum Honda sebagai jenama bukan nasional No. 1 dan No. 2 dalam TIV kenderaan di Malaysia.

Ishiyama menegaskan bahawa beliau akan terus fokus kepada kecemerlangan produk dan pengalaman pelanggan. Beliau percaya strategi yang telah diterapkan oleh Hayashi bakal menyaksikan Honda Malaysia sekali lagi mencatat sejarah dan mencapai sasaran jualan sebanyak 100,000 unit pada tahun ini.

Sepanjang berkhidmat di Malaysia, Hayashi berjaya mengukuhkan jenama Honda di Malaysia. Selain mengekalkan posisi jualan No.1 selama beberapa bulan.

Pada Mac 2017, Honda Malaysia mencatat perkongsian pasaran paling tinggi dengan 20.5 peratus. Pada tahun fiskal April 2016 hingga Mac 2017, syarikat mencatat jualan 100,000 unit kenderaan dan meraikan produksi yang ke 600,000 unit.

Untuk melangkah ke fasa pertumbuhan yang seterusnya, Hayashi telah menukar fokus dengan menawarkan teknologi termaju secara strategik. Di bawah tema Teknologi Termaju Generasi Seterusnya, enjin dengan sistem turbo telah diperkenalkan pada tahun lalu.

Hayashi dipuji kerana berjaya melancarkan Civic turbo yang merupakan perintis kepada pengenalan enjin turbo jenama Jepun di Malaysia.

Fokus tersebut dikembangkan menerusi pelancaran model City dan Jazz Sport Hybrid i-DCD. Sekali gus menjadikan Malaysia sebagai satu-satunya negara di luar Jepun yang memperkenalkan rangkaian kuasa tersebut dan menjadi peneraju dalam segmen hibrid tempatan.

Honda Malaysia turut memperkenalkan Honda CR-V serba baharu dengan Honda SENSING demi memberi tahap keselamatan terbaik kepada pengguna.

Model berprestasi tinggi, Civic Type R 2.0L VTEC yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi juga dilihat memberi keterujaan kepada peminatnya di Malaysia.

Hayashi berkhidmat selama setahun enam bulan di Malaysia. Beliau akan memegang peranan baru sebagai Pengurus Besar Divisyen Operasi Luar Negara (Amerika) dan Operasi Serantau (Amerika Utara) Honda Motor Co., Ltd. di Jepun.

Google ads
Back to top button