Buletin

HONDA MALAYSIA SASAR JUALAN 95K UNIT UNTUK 2019

Ketika industri automotif dilihat mencabar pada tahun 2018, Honda Malaysia berjaya merekodkan perkongsian pasaran sebanyak 17.1% untuk mengekalkan momentum selaku jenama kereta No.1 dalam segmen Bukan-Nasional selama empat tahun berturut-turut.

Ia juga berjaya mengekalkan kedudukan No.2 dalam Jumlah Keseluruhan Industri (Total Industry Volume) untuk tiga tahun berturut-turut.

Tahun lalu, industri automotif menyaksikan beberapa peristiwa yang mempengaruhi sentimen pelanggan.

Dalam tempoh tiga bulan tanpa cukai, Honda Malaysia telah mencatat permintaan yang sangat memberangsangkan daripada pelanggan, sekali gus menjadi penyumbang yang ketara terhadap jualan keseluruhannya.

Menyentuh tentang pasaran keseluruhan, Honda Malaysia menjangkakan Keseluruhan TIV pada tahun 2019 mencecah 580,000 unit. Berdasarkan TIV ini, Honda telah menetapkan sasaran jualan pada tahun ini sebanyak 95,000 unit, yang merangkumi perkongsian pasaran sebanyak 16%.

Dalam usaha untuk kekal kompetitif dalam pasaran yang mencabar ini, Honda Malaysia berkongsi strategi perniagaannya yang telah dirancang untuk membantu syarikat mencapai sasaran dan terus berkembang pada tahun 2019.

Berucap pada majlis Honda Media Gathering 2019, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, “Honda Malaysia telah berjaya menjual sebanyak 102,282 unit kenderaan pada tahun 2018, penurunan sebanyak 6.6% berbanding jualan tahun 2017.

“Namun begitu, ia tetap memberangsangkan kerana kami berjaya melepasi paras 100,000 unit walaupun pasaran yang tidak menentu. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelanggan-pelanggan kami di atas sokongan dan kepercayaan mereka terhadap Honda Malaysia”.   

Dari segi prestasi jualan mengikut model, kesemua 7 model CKD iaitu Jazz, City, BR-V, HR-V, Civic, Accord dan CR-V merupakan peneraju dalam segmen masing-masing.

City merekodkan sumbangan terbesar dengan 32% kepada jualan keseluruhan Honda Malaysia. Civic dan CR-V juga menjadi model utama dalam segmen mereka di mana masing-masing menyumbang 16% dan 13% kepada jualan keseluruhan.

Sejak beberapa tahun ini Honda Malaysia memberi fokus terhadap Teknologi Termaju Generasi Seterusnya di mana 3 teknologi utama dalam produk mereka diperkenalkan iaitu Honda SENSING, Turbo dan Sport Hybrid i-DCD.

Accord dilengkapi Honda SENSING yang dilancarkan pada 2017 telah menyumbang 18% kepada lebih 3,600 unit Accord yang dijual dalam tempoh pelancaran tersebut sehingga akhir 2018.

Manakala, CR-V dilengkapi Honda SENSING yang dilancarkan pada tahun yang sama telah menyumbang 33% kepada jumlah keseluruhan CR-V Generasi ke-5 yang dijual sebanyak 20,600 sejak pelancaran sehingga akhir tahun lepas.

Pada 2016, Honda menjadi pengeluar kereta Jepun pertama yang memperkenalkan model turbocharged dalam segmen C di pasaran massa Malaysia. Civic generasi ke-10 telah mencatat jualan lebih 41,000 unit sejak pelancaran rasminya tiga tahun dahulu dan 58% daripada jualan ini adalah dari varian turbo.

Bagi mengukuhkan barisan modelnya, Honda Malaysia melancarkan Odyssey pada tahun lalu. Model ini melengkapkan tiga model yang hadir dengan Honda SENSING iaitu Accord dalam segmen D, CR-V dalam segmen SUV dan Odyssey untuk segmen MPV. Model-model yang dilengkapi dengan Sport Hybrid i-DCD seperti City dan Jazz, turut menerima sambutan baik daripada pasaran sepanjang tahun lalu.

Honda Malaysia turut mencatat pertumbuhan sebanyak 11% berbanding tahun 2017 dari segi pengambilan perkhidmatan selepas jualan, menjadikannya sebagai pengambilan paling tinggi dalam sejarah.

Peningkatan itu disempurnakan lagi dengan satu lagi rekod jualan Alat Ganti Tulen Honda yang menyaksikan lonjakan sebanyak 25%.

Google ads
Back to top button