Artikel Pilihan

SEGALA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG NISSAN SKYLINE R32 GT-R.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Nissan Skyline GTR R32. Satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada dunia.

Sejarah pembangunan Nissan Skyline R32 GTR bermula pada tahun 1988 apabila pihak Nissan mahu merehatkan Nissan Skyline Coupe R31 GTS-R yang ketika itu bersaing di dalam “Group A Touring Car Racing” dan juga untuk memberi jawapan kepada Porsche 959.

Kemudian, pada 22 Mei 1989 Nissan Skyline R32 GTR diproduksikan untuk memenuhi syarat homolagasi perlumbaan dan ditetapkan bahawa 5,000 unit minima. Akan tetapi, atas permintaan yang tinggi, pihak Nissan tidak menyekat pengeluaran model GTR ini pada angka tertentu.

Maknanya, bebas. Selagi ada permintaan selagi itu akan dikeluarkan. Pada bulan Ogos 1989, secara rasminya Nissan Skyline R32 GTR diperkenalkan.

Pada masa yang sama, pihak Nissan mahu meneruskan legasi GTR yang sebelum ini dipegang oleh dua generasi Skyline iaitu KPGC10 “Hakosuka” dan KPGC110 “Kenmeri”. Jadi, Nissan Skyline R32 GTR merupakan generasi ketiga dalam francais GTR.

Apa yang terjadi pada KPGC110 “Kenmeri” ? Senang cakap, pada tahun 1973 kenderaan ini dilahirkan pada masa dan tempat yang salah. Kenderaan ini dibunuh oleh peraturan emisi yang ketat pada ketika itu. Akhirnya, produksi kenderaan ini hanya bertahan 6 bulan sahaja dan cuma 197 unit dihasilkan. Ye. 197 unit. Kira ada duit pun belum tentu boleh dapat sekarang.

Berbalik kepada cerita R32 GTR, selepas 16 tahun meratapi kegagalan generasi kedua, Nissan bangkit dengan model ini. Nissan mahu menjadikan R32 GTR ini sebagai model “Flagship” mereka. Mr. Naganori Ino dipilih untuk mereka model Nissan Skyline R32 ini. Untuk pengetahuan, varian Nissan Skyline terbahagi kepada model-model berikut :-

GXi Coupe & Sedan – 1.8L CA18i
GTE Coupe & Sedan – 2.0L RB20E
GTS Type-X,S,J – 2.0L RB20DE
GTS-25 Type-X,S,XG – 2.5L RB25DE
GTS-T,Type-M – 2.0L RB20DET
GTS-4 – 2.0L RB20DET
Autech GTS-4 – 2.6L RB26DE *Yang ni rare, 188 unit sahaja di dunia.
GTR – 2.6L RB26DETT

Jadi disini, kita dapat lihat banyak versi Nissan Skyline R32. Bukan asal R32 je semua GTR. Tidak ye Tuan-Tuan. Kalau nak pastikan GTR atau tidak sila pastikan Chassis kenderaan tersebut bermula dengan BNR32.

Pada awal R&D untuk enjin dilakukan, pihak Nissan pada awalnya mahu menggunakan enjin bersesaran 2,350cc berkod RB25 untuk bersaing di dalam kelas 4,000cc. Hal ini kerana di dalam peraturan “Group A”, bagi kenderaan yang dilengkapi dengan unit turbo, cc enjin hendaklah dikalikan dengan 1.7. Jadi, 2,350cc dikalikan dengan 1.7 menjadikan cc enjin ini sebesar 3,995cc dan melayakkannya bertanding untuk kelas 4,000cc.

Pada masa yang sama, pihak Nissan memutuskan untuk meletakkan sistem pacuan semua roda. Pihak Nissan telah membangunkan satu sistem dikenali sebagai “Advanced Total Traction Engineering System for All-Terrain with Electronic Torque Split(ATESSA E-TS).

Sistem ini membuatkan berat kenderaan bertambah sebanyak 100kg. Banyak tu! Jadi, nak taknak pihak Nissan kena tambah cc enjin untuk mengelakkan masalah “Underpower” ketika bersaing.

Setelah bertungkus-lumus ber-R&D, akhirnya enjin RB26DETT disiapkan untuk dimuatkan ke dalam ruang enjin BNR32 GTR dan sedia untuk diproduksikan.

Enjin ini mempunyai konfigurasi 6 silinder sebaris dan bersesaran 2,568cc. Material blok enjin adalah dari besi tempa(Cast Iron). Jadi, memang tahan. Nilai Bore x Stroke pula adalah 86mm x 73.7mm.

Dengan nilai ini dapat disimpulkan bahawa enjin ini diklasifikasikan sebagai “Over-Squared Engine”. Nisbah mampatan pula adalah 8.5:1. Sistem bahanapi pula menggunakan Sistem Pancitan Bahanapi Elektronik (EFI) dan dipadankan dengan Individual Throttle Bodies(ITB) berukuran 45mm bagi setiap satunya.

Injector asal pula berkapasiti sebanyak 444cc . Kemudian, enjin ini dibantu oleh sistem pendesak iaitu 2 unit Turbo Garrett M24 dengan Turbin Seramik. Boost ori kilang ditetapkan pada 0.69bar.

Hasilnya ? 276bhp pada 6,800rpm dan Torque sebanyak 353Nm pada 4,400rpm. Terima kasih kepada “Gentleman Agreement” yang dibuat oleh pengeluar kenderaan di Jepun pada ketika itu dimana “advertised horsepower” dihadkan pada 276bhp sahaja.

Dengan penambahan cc ini, kenderaan ini tidak layak untuk bertanding di dalam kelas 4,000cc. Jadi, pihak Nissan meletakkan sasaran untuk menguasai kelas 4,500cc. Untuk perlumbaan, enjin dibuat dan ditala oleh REINIK (Racing & Rally Engineering Division Incorporated Nissan Kohi) dan mempunyai kuasa sebanyak 500-600hp bergantung kepada keadaan trek.

Nampak tak?, pihak Nissan sendiri kalau nak bikin dan tala enjin ikut pada keadaan trek.

Bukan enjin satu tu lah kau esah drag, drift, trek, rally, bawak kanjo, bawak mak mentua pergi pasar. Asal horsepower tinggi je konfem power. Bukan Tuan-Tuan sekalian ye.

Sistem Transmisi kenderaan ini pula dilengkapi dengan Sistem Transmisi Manual 5 kelajuan. Nisbah gear adalah seperti berikut :-
Gear 1 – 3.214
Gear 2 – 1.925
Gear 3 – 1.302
Gear 4 – 1
Gear 5 – 0.752
Gear Gostan – 3.369
Kuasa dari enjin diterima oleh kotak gear lalu dihantar kepada gandar belakang LSD melalui unit Propeller Shaft.

Sistem ATESSA E-TS yang diletakkan pada Nissan Skyline R32 GTR ini menambah berat kenderaan sebanyak 100kg. Namun, apa makna sistem ini?

Sistem ini mengambil inspirasi daripada sistem AWD yang ada pada Porsche 959 ketika itu iaitu PSK “Porsche-Steur Kupplung”. Sama seperti Porsche 959, GTR menggunakan “Electro-Hydraulic Clutch” untuk memberikan Torque yang bersesuaian kepada tayar hadapan dan belakang.

Cuma, Porsche akan sentiasa memberikan 20% kuasa pada tayar hadapan dan jurutera Nissan berpendapat cara ini akan mengakibatkan kenderaan senang untuk “Understeer”.

Jadi, bagi GTR, kuasa akan dihantar kepada tayar belakang 100% dan hanya akan dikongsi ke tayar depan bila tayar belakang hilang cengkaman. Dengan ini, kenderaan tidak mudah untuk “Understeer” atau “Oversteer” ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Sistem High Capacity Actively Controlled Steering (HICAS) iaitu sistem “4 Wheel Steering” juga diletakkan pada kenderaan ini. Sistem ini sangat membantu ketika mengambil selekoh dalam kelajuan yang tinggi.

Cuma, dari dulu sehingga sekarang terdapat dua puak berbeza pendapat tentang HICAS ini. Ada yang pro ada yang anti.

Pendapat saya, kalau untuk pemanduan biasa dan trek, kekalkan. Kalau “Drift” buang atau matikan sistem ni. Hal ini kerana pengendalian dengan,atau tanpa HICAS adalah berbeza.

VERSI NISMO

Setelah setahun berada di pasaran, pihak Nissan kemudiannya mengeluarkan versi Nismo dengan kod model “RA” untuk bersaing di dalam versi “Group A Evolution”.

Model ini dikeluarkan sebanyak 560 unit dengan 500 unit untuk kegunaan umum dan 60 unit untuk kegunaan trek. Varian Nismo yang dikeluarkan ini membenarkan pihak Nissan mengubah spesifikasi yang lebih sesuai dan menghampiri untuk kegunaan trek.

Turbo pun tukar dari seramik kepada besi. Memang sporty habis lah gayanya. Tapi, bila dah nak main trek, segala berat-berat yang tak diperlukan hendaklah dibuang.

Model Nismo ini mengorbankan “Antilock Brake System” iaitu ABS, penghawa dingin, wiper belakang dan penghadang Intercooler. Model Nismo ini hanya tersedia dengan warna “Gun Grey Metallic” berkod KH2 sahaja. Tiada model Nismo dikeluarkan dengan warna lain selain dari warna ini.

Seperti yang dirancang, pihak Nissan mempersiapkan jentera lumba R32 GTR ini mengikut asas R32 GTR Nismo. Seterusnya kejayaan demi kejayaan dirangkul.

Antaranya :-
* Japanese Touring Car Championship(JGTC)
* Nurburgring 24-hour Race
* Macau Gula Race
* Australia Touring Car Championship
* Batthurst 1000

Dari 1990-1993, Nissan Skyline R32 GTR mendominasi setiap perlumbaan yang dianjurkan dan ketika ini lah gelaran “Godzilla” itu diterima dan kekal sehingga sekarang.

Terima kasih diucapkan pada pihak Nismo dan juga Mr. Fred Gibson dari Gibson Motorsport yang bertanggungjawab membawa Nissan Skyline R32 GTR ke Australia. Populariti dan dominasi Godzilla ketika ini membunuh pesaing terdekatnya iaitu Ford Sierra RS500 secara total.

Ia berterusan sehinggakan pada akhirnya pihak penganjur Australian Touring Car Championship’s (ATCC) mengharamkan penggunakan unit pendesak turbo dan sistem 4wd dalam perlumbaan.

Perkara ini dikatakan membunuh Godzilla dari terus beraksi. Tapi ramai berpendapat ianya tidak membunuh kerana nama Godzilla sudah terpahat di mana-mana pada waktu itu.

GODZILLA N1

Pada bulan Julai 1991, pihak Nissan mengeluarkan model N1 dengan kod “ZN”. Kenderaan ini dikeluarkan untuk pasaran domestik dan terhad kepada 245 unit sahaja.

Spesifikasinya lebih kurang edisi Nismo. ABS, wiper belakang, penghawa dingin, “Sound System”, dan karpet bonnet semua takde. Yang ditambah adalah “Brake Cooling Duct” di bahagian bawah kereta dan menerima “Brake Master Cylinder” yang baru.

Model N1 ini juga menerima penambahbaikan pada bahagian enjin dimana jurutera Nissan telah menyelesaikan masalah “Oil Pump” yang terdapat pada RB26DETT sebelum ini. Jadi, para pengguna RB26DETT boleh lah mulakan selaman untuk mencari “Oil Pump” N1 ye. Hehe. Model N1 kesemuanya dicat dengan warna “Crystal White” berkod 326.

Untuk meraikan kejayaan R32 GTR di dalam perlumbaan, pihak Nissan seterusnya mengeluarkan versi V-Spec pada tahun 1993. V-Spec membawa makna “Victory Spesification”.

Bagi varian V-Spec ini, pembeli boleh memilih sama ada mahu versi “Plain” atau “N1”. Kalau N1, macam kereta lumba lah. Apa pun tiada. Yang ada hanya enjin, chassis brek, tayar, stering dan telur pemandu dan selayaknya beraksi di trek.

Kalau “Plain” maknanya lengkaplah ciri-ciri sebagai sebuah kenderaan yang layak dipandu di jalan raya. Unit V-Spec menerima set brek dari Brembo, Rim 17 inci dari BBS disaluti dengan tayar bersaiz 225/45R17. Sistem ATESSA E-TS bagi model V-Spec ditala semula bagi memberikan cengkaman yang lebih mantap ketika mengambil selekoh.

Pada bulan Februari 1994, Nissan Skyline R32 GTR V-Spec II dilancarkan. Tak banyak beza, cuma model ini menerima profil tayar yang lebih lebar iaitu 245/45R17 dan emblem V-Spec II. Seperti model V-Spec, pembeli boleh memilih sama ada mahu versi “Plain” atau “N1”

Produksi Nissan Skyline GTR R32 ini berakhir pada tahun 1994 dengan jumlah pengeluaran seperti berikut:-

  • GTR (Series 1) – 17,316 unit
  • GTR Nismo – 560 unit
  • GTR Australia – 100 unit
  • GTR (Series 2) – 11,817 unit
  • GTR (Series 3) – 11,827 unit
  • V-Spec – 1,396 unit
  • V-Spec II – 1,306 unit
  • N1 – 245 unit ( GTR N1 – 118, V-Spec – 64, V-Spec 2 – 63)

Dari segi warna kenderaan, 45% GTR dicat dengan warna “Gun Grey Metallic”, 18% dicat dengan warna “Crystal White”, 13% dicat dengan warna “Black Pearl Metallic” dan 12% dicat dengan warna “Spark Silver Metallic”. Paling RARE adalah warna “Greyish Blue Pearl” berkod BL0 hanya dicat pada 141unit kenderaan sahaja.

Jumlah keseluruhan bagi model GTR adalah 43,937 unit. Jumlah keseluruhan pengeluaran barisan model Nissan Skyline R32 NON-GTR adalah 252,150 unit. Apa makna angka angka ini ?

Kejayaan Tuan-Tuan. Banyak tu diorang jual.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, HKS Zero R mana ?

Baiklah. Jika anda tahu kewujudan RUF mungkin lebih senang untuk memahami konsep ini. Pihak HKS mahu mengikut jejak langkah RUF dengan apa yang mereka buat pada barisan model Porsche.

Jadi, rancangannya adalah untuk membuat satu model yang tidak terikat dengan jenama Nissan tetapi menggunakan platform chassis dari Nissan.

Sebagai contoh, RUF BTR dan Porsche 964 adalah dua jentera berbeza walaupun mereka berkongsi platform yang sama. Jadi, sebut dengan betul. Model ini adalah HKS Zero R dan bukannya Nissan Skyline GTR R32 HKS Zero R. Gila apa nak letak nama panjang-panjang ?

Malangnya, perancangan yang pada awalnya dilihat senang, berakhir dengan kekusutan. HKS mendapati kos untuk membina unit ini terlampau mahal sekitar RM590,000 bagi sebuah kereta.

Ini pada 28 tahun lepas. Selepas inflasi agak-agak berapa nilainya ? Baru kos, belum nak jual. Seterusnya, keadaan makin rumit apabila setiap kenderaan yang hendak diproduksi hendaklah melalui pelbagai ujian termasuk lah “Crash-Test”.

Pihak HKS seterusnya menghentikan projek ini. Total kenderaan yang diguna dalam projek ini ada 4 unit. Pihak HKS simpan 3 unit dan satu lagi unit dijual kepada Sultan Brunei. Begitulah kisah ringkas HKS Zero R. Untuk spesifikasi kita sembang lain artikel.

Kesimpulannya, pada tahun 1989 kita sudah disajikan dengan Godzilla yang sarat dengan teknologi. Ketika itu juga pengaruh kenderaan dari Jepun mula kuat ke seantero dunia.

Kuasa besar industri Automotif tidak tertumpu ke Eropah dan Amerika sahaja. Ketika ini juga Malaysia baru mengeluarkan model Proton saga bernadikan 4G13/15.

Apa yang jadi pada tahun 1989 masih berterusan hingga kini. Nama GT-R terus gah sebagai “Supercar Killer” dulu, kini dan selamanya.

Terima Kasih Nissan!

Google ads
Back to top button