Buletin

INI MODEL MASA DEPAN HONDA, ANDA DAH BERSEDIA?

Di dalam industri automotif hari ini banyak perkara sedang berlaku. Segalanya berubah dengan pantas.

Kebangkitan jenama China, kenderaan elektrifikasi dan autonomi, pemindahan kilang, penambahan pelaburan dan di negara kita sendiri pun kerajaan mahu menubuhkan satu lagi jenama automotif nasional.

Pengeluar automotif juga dilihat sedang menyesuaikan diri dengan membuat beberapa perubahan seperti pelaburan dalam teknologi baharu.

Ada yang membesarkan kilang dan ada juga yang memindahkan terus operasi pengeluaran ke lokasi lain.

Dalam pasaran tempatan, Honda sudah beberapa tahun menjadi pengeluar bukan nasional terlaris malah memintas Proton dari segi jualan.

Ini satu senario yang hebat memandangkan model-model keluaran Honda berada dalam kelompok sederhana tinggi.

Satu kedudukan yang selesa untuk pasaran tempatan namun apa perancangan Honda di peringkat antarabangsa?

Cukupkah dengan model laku keras seperti Jazz, City, Civic, HR-V dan CR-V?

Tidak dan oleh sebab itu Honda pun turut sama dalam perlumbaan memasarkan kenderaan elektrik.

Buktinya ialah pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva (GIMS) 2019, Honda tampil model elektrik e-Prototype.

Honda mempunyai misi besar di Eropah iaitu menjelang tahun 2025, kesemua model yang dijual 100 peratus dikuasakan oleh nadi kuasa elektrifikasi.

e-Prototype adalah bayangan kepada model elektrik-bateri pertama Honda yang bakal dijual di Eropah.

Honda memposisikan e-Prototype sebagai sebuah pengangkutan bandar yang bermaksud kereta ini lebih sesuai untuk perjalanan jarak dekat.

Ini boleh dilihat melalui jarak perjalanan dengan cas penuh sejauh 200 km.

Jarak tersebut sebenarnya lebih pendek berbanding pesaing lain seperti Nissan LEAF namun apa yang istimewa ialah kuasa pengecasan pantas hanya mengambil 30 minit untuk 80 peratus tenaga.

Selain itu, Honda mengekalkan dinamika pemanduan yang merupakan identiti jenama di mana model ini menggunakan pacuan roda belakang.

Jadi bilakah pengguna boleh memiliki Honda kuasa bateri ini?

Model kelahiran semula Civic era 70an sebenarnya sudah ditemui sedang diuji di atas jalan raya awam dan bermakna ia sudah menghampiri fasa terakhir ujian sebelum dikeluarkan secara besar-besaran.

Honda sendiri mengakui bahawa model sebenar e Prototype akan dipertontonkan tahun ini juga.

Malah Honda sendiri telah mempelawa pengguna yang berminat untuk mendaftar bagi mengetahui perkembangan terkini di laman webnya.

Bukan setakat daftar, pengguna di beberapa pasaran terpilih Eropah juga boleh membuat tempahan dalam masa beberapa bulan lagi.

Sambutan setakat ini nampaknya menggalakkan apabila Honda telah pun menerima 15,000 pendaftaran daripada pengguna yang berminat.

Dengan perkembangan ini maknanya dalam beberapa tahun lagi kita boleh memandu model Honda dengan kuasa bateri?

Harapannya ialah biar harga mesra rakyat. Kos pemilikan pula logik dan biar sepadan dengan poket orang kebanyakan.

Google ads
Back to top button