Buletin

INSIDEN KAPAL TENGGELAM MENYEBABKAN PORSCHE TERPAKSA SAMBUNG PRODUKSI 911 GT2 RS

Produksi Porsche 911 GT2 RS telah dihentikan pada hujung Februari lepas tetapi kini Porsche terpaksa menyambung kembali pengeluaran untuk beberapa pelanggan setia mereka di Brazil. Ia berikutan kemalangan melibatkan kapal yang membawa supercar terbabit sehingga ianya karam di perairan Perancis pada 12 Mac lepas.

Kapal kargo Grande America tenggelam ke dasar laut selepas kebakaran berlaku pada salah satu kontena kargo yang dibawanya. Kapal tersebut dikatakan membawa sekitar 2,000 unit kereta dan Audi Brazil mengesahkan antara model yang tenggelam bersama kapal tersebut ialah beberapa unit Audi A3, A5, Q7, RS4 dan RS5.

Porsche bagaimanapun merahsiakan butir-butir kenderaan mereka yang terlibat tapi dalam dunia serba canggih ini sekejap pihak media berjaya mengesan surat yang dihantar kepada pemilik kereta terbabit dari Porsche Brazil. Surat terbabit antara lain memaklumkan yang penghantaran 911 GT2 RS mereka tidak dapat dijalankan akibat kemalangan tersebut.

Surat tersebut juga memaklumkan tentang insiden kebakaran yang melanda kapal kargo tersebut sekaligus memusnahkan kereta-kereta terlibat pada 12 Mac 2019. Porsche turut memaklumkan yang produksi kereta tersebut telah dihentikan pada Februari 2019 dan dalam keadaan biasa adalah mustahil untuk mereka menggantikan kereta tersebut.

Namun Porsche memberi jaminan berdasarkan keadaan yang di luar jangkaan selain sebagai menghargai pemilik-pemilik terbabit yang juga pelanggan setia mereka, Porsche bersedia menyambung kembali produksi untuk menggantikan kereta-kereta terbabit di Jerman. Ia akan mula diproduksikan pada bulan April ini dan serahan dikatakan akan disempurnakan pada bulan Jun.

Sumber dari Brazil juga menyatakan yang kapal terbabit membawa 4 unit 911 GT2 RS selain beberapa model lain seperti 718 Cayman, Boxster dan Cayenne.

Langkah yang diambil Porsche wajar dipuji dan dijadikan panduan oleh pengeluar lain sebagai tanda penghargaan untuk pelanggan-pelanggan setia mereka.

Google ads
Back to top button