
HONDA MOTOCOMPACTO DEDAH E-SKUTER BAHARU – SAIZ BAGASI, MAMPU TAMPUNG BERAT 120KG
Honda Motocompacto kini tampil dengan jentera baharu yang dikuasakan oleh elektrik dan menawarkan jarak gerak 12 batu manakala kelajuan tertinggi pula dihadkan pada 15mph.
Berbeza dengan jentera enjin petrol dua lejang sebelum ini, e-skuter baharu ini direka lebih kecil atau hanya bersaiz seperti bagasi dan hanya memiliki berat 18.7kg sahaja, selain berupaya menampung berat sehingga 120kg.

Seperti kebanyakan skuter elektrik, motor dipasang pada roda hadapan, sementara roda belakang dilengkapi brek dram serta dibekalkan bateri kecil 6.8Ah. Bateri berkenaan mengambil masa sehingga 3.5 jam bagi pengecasan penuh.
Beralih pada harga, jentera elektrik baharu ini dijual harga sekitar AS$1,000 (RM4,731) dan hanya terdapat di Eropah serta Amerika Syarikat.

Bagi pasaran UK, Honda Motocompacto masih lagi berkira-kira untuk menjualnya di pasaran tersebut kerana undang-undang UK mengenai e-skuter menjadikannya langkah kurang bijak.
Untuk makluman, penggunaan e-skuter elektrik milik persendirian di jalan raya dan taman awam adalah dilarang, dan hanya skuter daripada skim yang diluluskan oleh kerajaan sahaja dianggap sah.




