NISSAN DEDAH EV KONSEP – HYPER URBAN CONCEPT TAMPIL TEKNOLOGI BAHARU, REKA BENTUK AGRESIF
Nissan baru-baru ini telah mendedahkan imej salah satu EV konsep yang akan dipamerkan di Japan Mobility Show 2023.
Digelar sebagai Hyper Urban Concept, ia tampil dengan reka bentuk agresif selain menunjukkan kemampuan teknologi Nissan.
Menerusi imej disiarkan, Hyper Urban Concept dipadankan dengan warna kuning limau dan diserlahkan lagi melalui pintu depan/belakang jenis scissor doors.
Menurut Nissan, Hyper Urban Concept ini boleh diintegrasikan dalam konsep vehicle-to-home (V2H) dan vehicle-to-grid (V2G).
Jelasnya lagi, fungsi ini membolehkan Hyper Urban Concept membekalkan tenaga elektrik kepada rumah melalui V2H sementara V2G pula, menyumbang kembali tenaga kepada grid elektrik dan mendapat bayaran.
Selain itu, Intelligent Charging Management System pada kenderaan ini menggunakan AI (artificial intelligence) untuk pengecasan secara autonomi, termasuk membekalkan kuasa elektrik kepada bangunan.
Perincian yang didedahkan oleh Nissan termasuklah dilengkapi paparan instrumen terkini serta ruang dalaman segitiga kaleidoscopic.
Selain Hyper Urban, turut dipamerkan di Japan Mobility Show 2023 termasuklah Nissan Ariya, Nissan Leaf 90th Anniversary dan Skyline NISMO.
Bagi sesiapa tidak berkesempatan ke acara tersebut, Nissan menjadikan laman web Japan Mobility Show 2023 sebagai tempat untuk peminat mendapatkan maklumat tentang kereta konsep.