Buletin

HONDA AKAN JUAL 30 UNIT SAHAJA NSX TYPE S DI JEPUN. BERMULA RM1.05 JUTA

Honda baru-baru ini mengumumkan bahawa ia hanya akan menjual 30 unit NSX Type S di pasaran Jepun. Jentera tahun 2022 itu mula diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) dengan lencana Acura pada Ogos lalu. 

Pada ketika itu, Honda memberitahu hanya 350 unit NSX Type S akan dihasilkan. Daripada angka itu, 300 bakal dijual di AS dan pasaran untuk baki 20 unit lagi bakal ditentukan kelak. 

Pelanggan di Jepun yang berminat untuk mendapatkan supercar itu perlu membelinya pada harga sekitar 27.94 juta yen (RM1.05 juta). Sebagai perbandingan, NSX Type S dijual di AS pada harga AS$169,500 (RM703,000) seunit.

Untuk membezakannya dengan model standard, kereta itu menerima banyak penambahbaikan. Antaranya ialah rekaan luaran lebih agresif melibatkan bampar hadapan dengan corong pengambilan udara lebih besar dan splitter yang agresif. Honda juga memasang spoiler belakang baharu, peresap udara gentian karbon dan rim tempaan yang unik. 

Sama seperti NSX biasa, Type S dikuasakan oleh enjin V6 turbo berkembar bersesaran 3.5 liter dengan tiga unit motor elektrik. Namun, naik taraf yang dilakukan ke atas enjin tersebut membolehkannya menjana kuasa sehingga 600hp dan tork 667Nm. 

Google ads
Back to top button