Buletin

HONDA RUGGED OPEN AIR, PIKAP + UTV + TYPE R UNTUK SEMA 2018

Barisan kenderaan yang ditawarkan Honda di negara kita menggagumkan. Dari MPV kecil BR-V sehinggalah SUV bersaiz sederhana Odyssey. Honda hadir dalam semua segmen tinggal lagi Brio yang belum dibawa masuk bagi menyaingi Axia.

Sebenarnya ada lagi iaitu kenderaan rekreasi seperti utility task vehicle (UTV). Beza dengan ATV ialah, UTV mampu memuatkan lebih ramai dari dua hingga enam penumpang.

UTV biasanya digunakan untuk off-road seperti di ladang atau memasuki hutan.

Honda mempunyai model dalam segmen ini dikenali sebagai Pioneer 1000. Seperti biasa, Honda tidak mengambil mudah dalam menghasilkan produknya, UTV ini dilengkapi enjin 999cc dengan PGM-FI dan transmisi enam kelajuan automatik DCT.

Baru-baru ini telah berlangsung SEMA 2018 di Las Vegas dan Honda menyertainya. Ada beberapa model dipamerkan tetapi ada sebuah yang nampak luar biasa.

Sebuah kenderaan kacukan dari dua buah model iaitu pikap Ridgeline dan UTV Pioneer 1000. Hasilnya jadilah sebuah off-road yang dipanggil Rugged Open Air.

Rugged Open Air ini direka dan dibangunkan oleh Honda R&D Americas sebagai kenderaan off-road sejati. Pada asasnya kenderaan ini nampak seperti pikap Ridgeline dengan gayaan UTV Pioneer 1000.

Pasukan yang terlibat dalam projek ini telah mengubahsuai badan dan suspensi pikap Ridgeline dengan pintu yang diambil dari UTV Pioneer. Bahagian kargo belakang pula hasil binaan khas.

Bahagian dalaman pula diubahsuai dari Ridgeline dengan stereng UTV Pioneer dipadankan pada column stereng asal pikap Ridgeline. Kerusi kenderaan ini diambil dari Civic Type R yang dibalut semula dengan material Pioneer 1000 kalis air.

Bukan dua sahaja kerusi Type R dipasang tetapi empat sekaligus termasuk penumpang belakang.

Tidak dilupakan ialah pemegang telefon pintar dari jenama aftermarket RAM Mounts. Bahagian panel instrumen disaluti cat tahan lasak supaya tahan lama.

Honda Rugged Open Air ini tidak dijual dan hanya untuk one-off sahaja. Kenderaan di SEMA biasanya mempamerkan modifikasi dan aksesori yang boleh dibuat kepada kenderaan di pasaran.

BACA: TOYOTA WISH & HONDA STREAM – LAGENDA MPV YANG TELAH BERAKHIR

BACA: HONDA N-VAN – KHABAR KERETA KOMPAK DARI JEPUN

Google ads
Back to top button