Buletin

HONDA S7 ELEKTRIK MULA MEMASUKI PASARAN CHINA, PELANCARAN RASMI 6 MAC – ANGGARAN HARGA RM122K

Honda S7, crossover elektrik terbaru keluaran Honda, telah mula tiba di bilik pameran di seluruh China menjelang pelancaran rasminya yang dijadualkan pada 6 Mac ini.

Model ini, yang dahulunya dikenali sebagai Honda Ye S7, kini membawa nama baharu selepas Honda memutuskan untuk meninggalkan penjenamaan ‘Ye’.

Dibangunkan oleh usaha sama Dongfeng Honda, S7 menampilkan reka bentuk luaran yang menarik dengan lampu hadapan berbentuk boomerang yang disambungkan oleh jalur LED nipis, serta cermin sisi baharu – digantikan dengan kamera untuk pandangan lebih jelas.

Bahagian belakangnya pila dilengkapi dengan spoiler bumbung yang besar dan lampu belakang menegak, dihubungkan oleh jalur LED, memberikan penampilan futuristik.

Menjengah dalam kabin, model S7 menawarkan skrin tengah berorientasikan potret bersaiz 24-inci, kluster instrumen 9.9-inci, dan paparan kepala augmented reality 21.9-inci.

Selain itu, terdapat skrin pada panel pintu yang memaparkan imej dari kamera sisi, serta cermin dalaman  berfungsi sebagai kamera.

S7 juga dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing 360+, dengan kemungkinan integrasi sistem Huawei Qiankun ADAS pada masa hadapan.

Dari segi prestasi, S7 dibina di atas platform W dengan dimensi 4,750/1,930/1,625mm dan jarak roda 2,930mm.

Varian pacuan semua roda (4WD) dilengkapi dengan dua motor elektrik yang menghasilkan gabungan kuasa sebanyak 469hp, manakala varian pacuan roda belakang (RWD) mempunyai motor tunggal dengan kuasa 268hp.

Bateri 89.8 kWh dari CATL memberikan jarak perjalanan sehingga 620km berdasarkan ujian CLTC untuk model 4WD.

Walaupun harga rasmi belum diumumkan, jangkaan harga bagi Honda S7 adalah melebihi sekitar AS$27,600 (RM122,645).

Google ads
Back to top button