Motosikal

QJMOTOR BANGUNKAN ENJIN TIGA SILINDER 700CC DENGAN AMT

Ketika pengeluar lain menghadkan jumlah model dan enjin yang ditawarkan untuk pasaran global, lain pula kisahnya bagi QJMotor. 

Ini kerana pengeluar motosikal China itu setakat ini memiliki lebih 100 model dengan kapasiti enjin pelbagai termasuk satu silinder, parallel-twin (dua silinder), V-Twin, empat silinder dan V4 (dalam pembangunan). 

Meskipun begitu, QJMotor enggan berhenti sebaliknya dokumen terbaru mengesahkan syarikat gergasi itu sedang membangunkan enjin tiga silinder. 

Permohonan paten terbaru itu dengan jelas menunjukkan sebuah enjin tiga silinder meskipun terdapat percubaan untuk menyembunyikan jumlah piston. 

Namun apa yang menarik bukan pembangunan enjin baharu itu sebaliknya menggabungkan unit 700cc tersebut dengan transmisi AMT (automatic manual transmission). 

Ini bermakna, QJMotor bakal memperkenalkan motosikal berkuasa tinggi dengan AMT sekaligus mengetepikan penggunaan klac tangan dan gear kaki untuk melakukan pertukaran gear. 

Ini bukan kali pertama sistem AMT diperkenalkan QJMotor kerana teknologi tersebut telah pun ditawarkan pada model SRV 250 AMT yang diperkenalkan tahun lalu di EICMA 2024. 

*QJMotor SRV 250 AMT

Apa yang pasti, selain jenama terkemuka seperti BMW, KTM, Honda dan Yamaha, kini giliran QJMotor memperkenalkan transmisi AMT untuk pasaran global. 

Google ads
Back to top button