
HYUNDAI I20 GENERASI BAHARU
Hyundai Motor semalam telah mendedahkan imej-imej awal model kompak i20 generasi baharu sebelum ia melakukan debut pada Paris Motor Show 2014.
Melalui pelancaran model terbaharu ini, Hyundai Motor dilihat meneruskan kejayaannya dalam segmen B di pasaran Eropah dengan jualan mencecah hampir satu juta unit sejak tahun 2002.
Populariti i20 sebelum ini menjadikannya model terlaris Hyundai di rantau tersebut. i20 baharu telah dibangunkan di Eropah dengan ciri penting iaitu keluasan ruang dalaman yang mendahului kelasnya, sarat dengan teknologi tinggi, ciri-ciri yang meningkatkan aspek keselesaan serta reka bentuk yang halus dan tersendiri.
Dibina di atas platform baharu, i20 dilengkapi bumbung suria panoramik yang unik, selain kamera belakang bersepadu dan lampu LED. Dipengaruhi oleh falsafah reka bentuk Fluidic Sculpture 2.0 penampilan keseluruhan jentera itu dilakar di Pusat Reka Bentuk Hyundai Motor Eropah di Rüsselsheim, Jerman.
Dilihat dari segi dimensinya, i20 memiliki tapak roda sepanjang 2,570mm (45mm lebih panjang berbanding model terdahulu). Ia sekali gus menawarkan ruang kabin antara yang paling luas dalam segmennya. Kapasiti butnya jua mendahului kelasnya dengan 326 liter apabila tempat duduk belakang ditegakkan.
Menyentuh mengenai penggunaan enjin pula, sesaran dan kuasa enjin adalah berbeza mengikut rantau yang diwakilinya.