
PERODUA TAMATKAN PAKEJ SERVIS PERCUMA
Perodua pada hari ini mengumumkan bahawa ia akan menamatkan pakej servis percuma selama tiga tahun ke atas semua modelnya iaitu Myvi, Viva dan Alza mulai akhir Ogos depan.
Pakej servis percuma selama tiga tahun diperkenalkan pada Mac 2013 sebagai sebahagian daripada ulang tahunnya yang ke-20 dan ditawakan ke atas model-model Perodua S-Series.
“Walau bagaimanapun, para pelanggan yang mendaftarkan kenderaan Perodua mereka sebelum 31 Ogos akan tetap layak menerima pakej servis percuma selama tiga tahun,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.
Menurut Aminar, pihaknya kini sedang menilai tawaran yang diberikan kepada para pelanggannya dan akan berkongsi mengenai perincian tidak lama lagi.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan atas sokongan mereka selama ini. Kami akan terus menawarkan pakej baharu dan menarik yang memberi lebih nilai kepada para pelanggan,” tambah Aminar.










