Buletin

HYUNDAI IONIQ 6 KINI DI MALAYSIA. 2 VARIAN, 614KM SEKALI CAJ, BERMULA RM299K

Hyundai Sime Darby hari ini secara rasmi melancarkan kenderaan elektrik (EV) ketiganya, IONIQ 6 ke pasaran Malaysia. 

Selepas begitu berjaya dengan model Kona Electric dan IONIQ 5, momentum itu dilihat bakal diteruskan oleh IONIQ 6 dalam pasaran EV yang kian sengit di Malaysia. 

Pemenang anugerah 2023 World Car of the Year, 2023 World Electric Vehicle of the Year dan 2023 World Car Design of the Year itu ditawarkan dalam dua varian iaitu Max RWD dan Max AWD. Ia dibezakan menerusi pengguna motor tunggal atau berkembar. 

Kedua-dua varian tersebut dikuasakan oleh pel bateri lithium-ion polimer berkapasiti 77.4kW yang mampu bergerak sejauh 614km dan 519km berdasarkan kepada piawaian WLTP. 

IONIQ 6 menyokong pengecasan AC 11kW yang membolehkan pengecasan penuh dicapai dalam masa 7.1 jam. Jika menggunakan pengecasan DC 350kW pula, bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam masa 18 minit sahaja. 

Motor elektrik dipasang pada setiap gandar yang berupaya menjana kuasa 320hp (239kW) dengan tork setinggi 605Nm. Angka itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 5.1 saat. 

Sistem suspensi Hyundai IONIQ 6 terdiri daripada topang MacPherson di hadapan dan jenis multilink pada roda belakang. 

Elemen rekaan Parametric Pixel nyata membuatkan EV itu cukup menyerlah berbanding pesaingnya yang lain. Ia dapat dilihat dengan jelas pada lampu utama, lampu belakang, lampu brek ketiga pada spoiler belakang dan stereng. 

Jentera itu juga dilengkapi skrin berkembar bersaiz 12.3 inci, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, pad pengecasan tanpa wayar, penggunaan bahan mesra alam dan lampu ambien pelbagai warna. 

Selain itu, IONIQ 6 mempunyai sistem kawalan iklim automatic dua zon, sistem audo Bose dengan lapan pembesar suara, sistem kemasukan kunci pintar, skrin paparan head-up, shift-by-wire, paddle shifter untuk kawalan brek regeneratif, serta sistem bunyi Electric-Active Sound Design (e-ASD). 

Dari segi keselamatan, Hyundai IONIQ 6 dilengkapi tujuh beg udara, ABS, EBD, Bantuan Mula Mendaki (HAC), Sistem Peringatan Tali Pinggang Keledar, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) serta cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak. 

Tidak ketinggalan, sistem keselamatan Hyundai SMARTSENSE yang terdiri daripada:

  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA)
  • Bantuan Pemanduan Lebuhraya (HDA2)
  • Kawalan Jelajah Pintar (SCC) dengan fungsi Stop & Go
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Parkir (PCA)
  • Sistem Pemantauan Keliling (SVM)
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

“Kami sangat teruja untuk melancarkan IONIQ 6 to Malaysia. Selain menetapkan satu standard baharu pada Hyundai dari segi teknologi dan kecekapan, jentera ini mempunyai reka bentuk yang sangat menarik.  

“Rekaan sebuah fastback ini adalah hasil daripada ujian terowong angin yang ekstensif dan mampu mencapai pekali seretan seren o.21Cd,” kata Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung. 

IONIQ 6 ditawarkan pada harga bermula dari RM298,888 (Max RWD) dan RM319,888 untuk varian Max AWD. Jentera tersebut turut hadir dengan jaminan bateri sehingga lapan tahun atau jarak perbatuan 160,000km.

GALERI

Google ads
Back to top button