
HYUNDAI IONIQ 6 N 2026 DIDEDAHKAN: 0-100KM/J 3.2 SAAT, ANGGARAN HARGA SEKITAR RM515K
Hyundai telah memperkenalkan senjata elektrik berprestasi tinggi terbarunya di pentas Goodwood Festival of Speed iaitu Ioniq 6 N 2026.
Ini merupakan model kedua dalam barisan EV N mereka selepas Ioniq 5 N, namun dengan rekaan sedan yang lebih aerodinamik dan lebih pantas.
Dalam mod N Grin Boost, Ioniq 6 N mampu menjana sehingga 478kW dan 770Nm tork, sementara output biasa berada pada 448kW/740Nm, sama seperti adik SUV-nya.
Bezanya, sedan ini mampu memecut dari sifar ke 100km/j dalam hanya 3.2 saat, mengatasi Ioniq 5 N yang mencatatkan 3.4 saat. Sekalipun masih di belakang Tesla Model 3 Performance yang mencatatkan 3.1 saat, Hyundai menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih memuaskan menerusi teknologi eksklusif N.

Antara ciri istimewanya termasuk N e-Shift, iaitu sistem gear maya yang meniru penukaran gear kotak DCT lapan kelajuan, dan mod N Drift Optimizer yang membantu menghasilkan aksi drift dengan lebih mudah dan terkawal.
Sistem bunyi buatan kini dikemaskini kepada N Active Sound+, menawarkan pengalaman aural yang lebih realistik mengikut mod pemanduan.
Sistem brek juga dinaik taraf dengan angkup empat omboh di hadapan dengan cakera 400mm, manakala di belakang menggunakan angkup satu omboh dengan cakera 360mm.

Selain itu, daya membrek turut disokong oleh regenerative braking yang kini boleh mencapai sehingga 0.6 Gs.
Ioniq 6 N dikuasakan oleh dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda, disokong oleh bateri 84kWh bersama sistem penyejukan yang ditambah baik. Walaupun Hyundai belum mendedahkan jarak pemanduan rasmi, anggaran awal mungkin setara dengan Ioniq 5 N yang mencatat sekitar 448km.
Kemampuan pengecasan pantas 350kW juga membolehkan pengecasan dari 10 hingga 80 peratus dilakukan dalam masa sekitar 18 minit.

Dari segi rupa, Ioniq 6 N tampil dengan kit badan lebih agresif, arca roda yang lebih lebar dan spoiler belakang jenis swan-neck bagi menyerlahkan imejnya.
Warna eksklusif Performance Blue Pearl turut diperkenalkan, disertai pilihan seperti putih, hitam, kelabu dan Gravity Gold Matte. Hyundai juga merancang untuk menawarkan pakej pilihan N Performance, namun butiran lanjut akan dikongsi kemudian.
Harga rasmi masih belum diumumkan, namun dijangka dilancarkan suku pertama 2026. Melihatkan harga semasa Ioniq 6 versi tertinggi mencecah sekitar $86,500 (sekitar RM405,000) dan Ioniq 5 N pada $110,383 (sekitar RM515,000), sedan sport elektrik ini mungkin berada dalam julat yang hampir dengan Ioniq 5 N.
- BACA: CONTINENTAL LANCAR TAYAR ECOCONTACT 6 DAN 6Q DI MALAYSIA – UNTUK KENDERAAN PETROL, HIBRID, ELEKTRIK
- BACA: DAH RASA PEMANDUAN BRITISH SEBENAR? JOM KE “DARE TO LOVE” MG MOTOR ROADSHOW DI 1 UTAMA, TENGAH HAPPENING SEHINGGA 13 JULAI!
- BACA: HONGQI MASUK PASARAN INDONESIA TAHUN DEPAN
- BACA: SUBARU: CESI LADDER FRAME DALAM MONOCOQUE

