Buletin

REDLINE FITNESS GAMES BY NISSAN MENGGEGAR MALAYSIA UNTUK KALI KETIGA

REDLINE Fitness Games by NISSAN kembali menguji keupayaan fizikal dan mental rakyat Malaysia menerusi edisi ketiganya yang berlangsung pada 26 dan 27 Julai di Pusat Pameran & Konvensyen Antarabangsa MINES (MIECC).

Setelah mencatat kejayaan membanggakan pada edisi 2023 dan 2024, tahun ini menyaksikan lonjakan penyertaan sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara acara kecergasan paling inklusif dan berskala besar di rantau ini.

Lebih 10,000 peserta dan pengunjung dari dalam dan luar negara membanjiri lokasi acara, menjadikan hujung minggu tersebut sebagai medan kecergasan yang meriah dan penuh semangat kesukanan.

Penganjur utama Fresh Events Asia, dengan sokongan penaja utama NISSAN, telah menyediakan satu platform yang mendorong penyertaan semua golongan, tanpa mengira usia, jantina atau tahap kecergasan.

Acara ini direka bagi menggalakkan peserta keluar dari zon selesa mereka, menguji kekuatan tubuh dan minda melalui satu siri cabaran intensif.

Antara 12 halangan yang bakal dihadapi termasuk larian sejauh 500 meter, mesin SkiErg, BikeErg dan RowErg, deadball burpees, sled push & pull, serta cabaran membawa beg pasir melalui rintangan ‘The Mule’.

Turut dimuatkan adalah senaman seperti squat thrusts, shuttle runs dan Russian twists yang menjanjikan satu latihan menyeluruh.

Format penyertaan juga fleksibel, sama ada secara individu, berpasangan mahupun berkumpulan  dengan pilihan kategori lelaki, wanita dan campuran.

 Tiga tahap kesukaran ditawarkan: Permulaan, Pertengahan dan Mahir; membolehkan semua peserta menyesuaikan cabaran mengikut kemampuan masing-masing.

REDLINE Fitness Games 2025 turut mendapat kerjasama daripada Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing berkata, pihaknya bangga menyokong acara yang kini menjadi rujukan dalam kalendar kecergasan Asia Tenggara.

“REDLINE bukan sahaja menawarkan pengalaman sukan, tetapi turut membawa elemen budaya dan nilai komuniti yang memperkayakan penganjuran acara di Malaysia.”

Edisi tahun ini turut menjadi batu loncatan kepada pengembangan REDLINE ke negara jiran. Bangkok dijadualkan menjadi tuan rumah pertama di luar Malaysia pada Disember 2025, diikuti oleh Vietnam pada awal 2026, satu langkah besar dalam membawa visi REDLINE ke seluruh Asia Tenggara.

REDLINE Fitness Games bukan sekadar medan persaingan fizikal, tetapi satu pengalaman menyeluruh yang menyatukan motivasi dalaman, kekuatan mental dan sokongan komuniti.

Untuk maklumat lanjut, layari www.redlinefitnessgames.com

Google ads
Back to top button