
KERETA REMUK LEPAS KEMALANGAN, TAPI PEMANDU TAK CALAR PUN
Apabila melihat sebuah kereta mengalami kerosakan teruk selepas kemalangan, khususnya apabila bahagian hadapan remuk sehingga tidak lagi menyerupai bentuk asalnya secara automatik kita akan mencemuh yang kereta tersebut tidak selamat pada penumpang dan pmandu.
Namun, kereta moden memang direka supaya bahagian tertentu pada badannya berubah bentuk atau remuk apabila berlaku perlanggaran. Reka bentuk ini bukan kelemahan struktur, sebaliknya merupakan sebahagian daripada teknologi keselamatan yang dikenali sebagai crumple zone.
Crumple zone ialah kawasan pada struktur kenderaan yang direka untuk menyerap tenaga kinetik ketika berlaku perlanggaran. Biasanya zon ini terletak pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan, supaya boleh berubah bentuk secara terkawal apabila menerima hentaman dan membantu mengurangkan tenaga yang dipindahkan kepada ruang penumpang.
Prinsip ini berkait rapat dengan hukum fizik mudah. Setiap kenderaan yang bergerak mempunyai tenaga kinetik dan jumlahnya bergantung pada berat serta kelajuan. Semakin berat dan laju sesebuah kenderaan, semakin tinggi tenaga yang perlu diuruskan ketika berlaku kemalangan.
Tenaga tersebut tidak boleh dihapuskan begitu sahaja, sebaliknya perlu diserap dan diuruskan melalui struktur kenderaan ketika impak kemalangan berlaku. Apabila bahagian hadapan kereta menghentam objek, struktur logam pada kawasan crumple zone akan mula melipat, membengkok dan remuk secara berperingkat.
Proses ini membantu menyerap sebahagian tenaga hentaman serta memanjangkan tempoh masa yang diperlukan untuk kenderaan berhenti sepenuhnya. Perkara ini sangat penting kerana hentian secara mengejut boleh menghasilkan daya nyahpecutan yang sangat tinggi terhadap penumpang. Dengan memanjangkan tempoh nyahpecutan melalui perubahan bentuk struktur badan, daya yang bertindak ke atas penghuni kenderaan dapat dikurangkan. Ini sekali gus membantu mengurangkan risiko kecederaan serius.

Sebab itulah sebuah kereta yang mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan tidak semestinya mempunyai tahap keselamatan yang rendah. Malah, keadaan tersebut mungkin menunjukkan struktur penyerap tenaganya telah berfungsi seperti yang dirancang oleh jurutera.
Tetapi bukan semua bahagian kereta direka untuk remuk ketika kemalangan. Pengeluar perlu memastikan terdapat perbezaan jelas antara struktur yang bertujuan menyerap tenaga hentaman dengan struktur yang perlu kekal kukuh bagi melindungi penumpang.
Bahagian hadapan dan belakang kenderaan dibina untuk mengalami perubahan bentuk terkawal, manakala ruang penumpang perlu mengekalkan integriti strukturnya sebanyak mungkin. Ruang ini dikenali sebagai safety cell atau sel keselamatan yang berfungsi mengekalkan ruang hidup penumpang ketika berlaku kemalangan serius.
Untuk membina struktur tersebut, pengeluar menggunakan keluli berkekuatan tinggi, tiang badan yang diperkukuhkan serta pelbagai komponen struktur tambahan. Ini termasuklah tiang A, B dan C, struktur bumbung, pintu serta lantai kenderaan. Semua komponen ini direka untuk membantu menghalang bahagian luar kenderaan daripada menceroboh masuk ke dalam ruang penumpang ketika berlaku perlanggaran.
Safety cell juga bekerja bersama sistem keselamatan pasif seperti tali pinggang keledar dan beg udara. Tali pinggang keledar bertindak menahan pergerakan badan penumpang ketika kemalangan, manakala sistem pretensioner akan mengetatkan tali pinggang dengan pantas apabila sistem mengesan berlakunya perlanggaran. Beg udara pula menyediakan kusyen tambahan bagi mengurangkan risiko penumpang terhentak pada permukaan keras di dalam kabin.
Selain crumple zone hadapan dan belakang, kereta moden turut dilengkapi perlindungan hentaman sisi. Struktur ini biasanya melibatkan rasuk pengukuh pada pintu dan tiang badan bagi mengurangkan risiko objek atau kenderaan lain menembusi ruang penumpang ketika berlaku perlanggaran dari arah sisi.

Kesemua sistem ini perlu berfungsi secara bersepadu untuk memberikan perlindungan terbaik. Crumple zone sahaja tidak mampu menjamin keselamatan sekiranya ruang penumpang gagal mengekalkan strukturnya. Begitu juga beg udara tidak boleh menggantikan fungsi struktur badan yang direka dengan baik.
Persoalannya, mengapa pengeluar tidak membina keseluruhan badan kereta menggunakan bahan paling kuat supaya ia tidak mudah remuk ketika kemalangan?
Secara teori, penggunaan struktur yang terlalu keras mungkin kelihatan seperti penyelesaian terbaik. Namun pendekatan tersebut boleh meningkatkan risiko kecederaan dalam keadaan tertentu. Jika keseluruhan bahagian hadapan kenderaan terlalu tegar dan tidak mampu menyerap tenaga hentaman, kereta mungkin berhenti terlalu pantas ketika berlaku perlanggaran. Keadaan ini menyebabkan daya nyahpecutan yang lebih tinggi dipindahkan kepada penumpang.
Sebaliknya, struktur yang terlalu lemah juga berbahaya kerana ia boleh runtuh terlalu cepat sehingga menyebabkan ruang penumpang terjejas. Oleh itu, jurutera automotif perlu mencari keseimbangan antara kekuatan struktur dan keupayaannya untuk berubah bentuk secara terkawal.
Proses pembangunan ini melibatkan simulasi komputer yang kompleks serta ujian pelanggaran fizikal dalam pelbagai keadaan. Antara ujian yang dijalankan termasuk perlanggaran hadapan secara penuh, perlanggaran hadapan yang hanya melibatkan sebahagian lebar kenderaan, hentaman sisi dan pelanggaran dari arah belakang.
Cabaran menjadi lebih besar apabila melibatkan perlanggaran antara dua kenderaan yang mempunyai perbezaan saiz dan berat. Jurutera perlu mengambil kira keserasian struktur kedua-dua kenderaan, sudut perlanggaran serta bagaimana tenaga hentaman bergerak melalui badan masing-masing.

Jadi anda sudah faham kenapa kereta moden bukan direka untuk keluar daripada kemalangan serius dalam keadaan tidak mengalami kerosakan. Sebaliknya, pengeluar mahu memastikan kerosakan berlaku pada bahagian yang sepatutnya supaya tenaga hentaman dapat diserap sebelum sampai ke ruang penumpang.
Justeru, sebuah kereta yang remuk teruk pada bahagian hadapan tetapi masih mengekalkan struktur kabin dengan baik mungkin sebenarnya telah melaksanakan tugas keselamatannya seperti yang dirancang. Dalam kejuruteraan keselamatan automotif, bahagian tertentu perlu sanggup dikorbankan supaya penumpang mempunyai peluang lebih baik untuk terselamat.



