
HYUNDAI, RIMAC NAFI TAMAT KERJASAMA
Beberapa hari yang lalu, beberapa portal media melaporkan Hyundai menamatkan kerjasama dengan Rimac disebabkan oleh Porsche yang mahu meningkatkan pegangan di dalam syarikat hypercar itu.
Dalam pada itu, wakil daripada Rimac menjelaskan kerjasama antara kedua-dua belah pihak masih lagi berjalan seperti biasa.
CEO Rimac, Mate Rimac menjelaskan hal sebenar di dalam satu hantaran di laman Facebook.
Jelas beliau, Hyundai dan Rimac menafikan laporan palsu berhubung penamatan kolaborasi disebabkan oleh kerjasama yang terbentuk antara Porsche dan Rimac.
Beliau turut memetik satu laporan daripada laman Auto Motor und Sport, di mana Hyundai telah menafikan laporan terdahulu dengan menyebut, “Hyundai dan Kia akan terus melabur di dalam Rimac Group, dan mengesahkan beberapa projek kerjasama sedang berlangsung pada tahap yang tinggi.”
Hyundai menandatangani kerjasama dengan Rimac pada tahun 2019 dengan nilai pelaburan $90 juta (RM394 juta).
Matlamat daripada kerjasama itu adalah untuk menghasilkan sekurang-kurangnya dua buah kenderaan – sebuah kereta sports midship Hyundai N dan kenderaan sel bahan api berprestasi tinggi.
Sebelum ini, Porsche dilapor meningkatkan pegangan dalam Rimac dari 15.5 kepada 24 peratus pada Mac 2021, dan beberapa bulan selepas itu, Rimac dan Bugatti secara rasmi menjadi gabungan Bugatti-Rimac di mana Porsche memiliki 45 peratus saham dalam syarikat tersebut dan selebihnya dipegang oleh Rimac. – FB Mate Rimac