YZF-R3 ABS WGP 60TH ANNIVERSARY UNTUK JEPUN, TERHAD 240 UNIT!
Rekaan grafik tiga blok sememangnya malar segar untuk motosikal Yamaha. Grafik itu popular pada era perlumbaan Yamaha dan telah banyak ‘disarungkan’ pada motosikal produksi.
Terbaru Yamaha Motor Co., Ltd. memperkenalkan YZF-R3 ABS WGP 60th Anniversary untuk pasaran Jepun dan akan mula diedarkan pada 15 Jun.
Seperti biasa, tidak banyak dikeluarkan dan hanya terhad kepada 240 unit sahaja. Yamaha sebelum ini memperkenalkan model yang sama di pasaran Eropah.
YZF-R3 ABS WGP 60th Anniversary dibuat bagi memperingati ulang tahun ke-60 penglibatan Yamaha di dalam GP Dunia.
Secara spesifik, skema warna ini merujuk kepada model YZR500 tahun 1980.
Yamaha mempunyai prestasi cemerlang di dalam perlumbaan dan telah mencatatkan lebih 500 kemenangan di dalam GP dunia di antara tahun 1961 hingga 2021.
Selain skema warna badan merah putih, YZF-R3 ABS WGP 60th Anniversary juga menonjol dengan warna emas pada fork depan dan roda 17 inci.
Lagi perbezaan dengan R3 standard ialah tuil brek dan klac warna hitam dan gegelung suspensi belakang warna kuning.
Model ini turut menggunakan lampu isyarat LED berbanding jenis biasa.
Memacu model terhad ini ialah enjin sama, 320 cc berkuasa 42 ps pada 10,750 rpm dan tork 30 Nm pada 9,000 rpm.
Lagi spesifikasi ialah kapasiti tangki minyak 14 liter, tayar depan 110/70 dan 140/70 di belakang, sistem ABS, tinggi tempat duduk 780 mm dan jarak kelegaan bumi 160 mm.
Motosikal yang diimport dari Indonesia ini ditawarkan di Jepun pada harga 723,800 yen atau bersamaan RM24,200.
Pengguna tempatan juga boleh memiliki model WGP 60th Anniversary dengan HLYM baru sahaja melancarkan edisi khas Y16ZR dan terhad kepada 5,000 unit.