
iCAUR CATAT 1,800 KENDERAAN DI JALAN RAYA, LANCAR KELAB PEMILIK RASMI
Jenama kenderaan elektrik iCAUR Malaysia mencatat satu lagi perkembangan positif apabila jumlah kenderaannya yang berada di jalan raya kini mencecah 1,800 unit.
Pencapaian itu dilihat sebagai bukti penerimaan yang semakin meningkat terhadap jenama berkenaan dalam segmen kenderaan tenaga baharu (NEV), khususnya bagi model berorientasikan pengembaraan dan pemanduan lasak.
Berdasarkan data pendaftaran pada Februari 2026, model iCAUR V23 muncul sebagai jenama kenderaan elektrik ketiga paling laris di Malaysia dengan 179 unit didaftarkan.
Sementara itu, model iCAUR 03 pula berada di tangga ketujuh dalam senarai keseluruhan model EV di pasaran tempatan.

Prestasi itu meneruskan momentum yang dicapai sepanjang 2025, apabila iCAUR 03 tersenarai sebagai model EV ke-14 paling popular di Malaysia dengan jumlah 836 unit didaftarkan dalam tempoh empat bulan pertama selepas diperkenalkan.
Menurut Pengarah Kanan iCAUR Malaysia, Francis Chin, pencapaian 1,800 kenderaan di jalan raya merupakan satu detik penting bagi jenama tersebut di negara ini.
Bagi meraikan pencapaian tersebut, iCAUR Malaysia menganjurkan Sesi Penyerahan 1,800 (1,800 Handover Session) yang menghimpunkan pemilik kenderaan iCAUR dari seluruh negara.
Majlis itu turut menyambut pemilik ke-1,800 selain menjadi platform memperkenalkan Kelab Pemilik iCAUR Malaysia, kelab pemilik rasmi pertama jenama berkenaan di negara ini.
Pengarah Pemasaran iCAUR Malaysia, Daniel Lai berkata, penubuhan kelab itu bertujuan mengeratkan hubungan antara pemilik serta membina komuniti yang lebih aktif.
“Semangat Born to Play yang dibawa iCAUR selari dengan gaya hidup pelanggan kami. Melalui Kelab Pemilik iCAUR Malaysia, para pemilik dapat berhubung, berkongsi pengalaman dan mencipta lebih banyak aktiviti bersama,” katanya.

Kelab tersebut diwujudkan sebagai platform komuniti yang menghimpunkan pemilik iCAUR menerusi pelbagai aktiviti, pertemuan serta pengalaman gaya hidup.
Ia turut memberi tumpuan kepada dua aspek utama iaitu perjalanan pengubahsuaian kenderaan (customisation journey) dan pembangunan komuniti dalam kalangan pemilik.
Melalui inisiatif itu, pemilik berpeluang menampilkan kenderaan yang telah diperibadikan, berkongsi idea pengubahsuaian serta menyertai aktiviti komuniti yang memperkukuh hubungan sesama ahli.
Kehadiran iCAUR di Malaysia semakin kukuh sejak pelancaran beberapa model elektrik berkonsepkan SUV pengembaraan, yang menggabungkan reka bentuk lasak, prestasi mantap serta fleksibiliti untuk pelbagai gaya pemanduan.
Model iCAUR 03 yang dilancarkan pada September 2025 misalnya muncul sebagai SUV segmen C elektrik sepenuhnya dengan keupayaan pengembaraan luar jalan, sekali gus membuka kategori baharu bagi kenderaan pengembaraan berasaskan bateri elektrik.
Barisan model itu kemudiannya diperluaskan dengan pengenalan iCAUR V23 pada November 2025, yang menampilkan gaya rekaan berinspirasikan model 4×4 klasik digabungkan dengan teknologi mobiliti elektrik moden.
Selain itu, versi khas V23 Retro Edition turut diperkenalkan dengan slogan “Classic Never Fades”, menampilkan pendekatan reka bentuk yang lebih santai serta sentuhan retro bagi menarik minat peminat gaya klasik dalam era kenderaan elektrik.





