Buletin

SUV ELEKTRIK iCAUR 03 SEMAKIN HAMPIR, HAB KOMPONEN RASMI BEROPERASI

iCAUR Malaysia mengukuhkan kehadirannya di negara ini dengan pelancaran rasmi Hab Komponen iCAUR di Taman Perindustrian Hicom, Shah Alam.

Kemudahan seluas 88,000 kaki persegi yang diuruskan Chery Corporate Malaysia dan dikongsi bersama OMODA | JAECOO Malaysia ini berfungsi sebagai pusat sokongan selepas jualan serta penyimpanan alat ganti bagi SUV elektrik pacuan lasak jenama tersebut.

Hab ini beroperasi sejak Mac lalu, sebagai persediaan untuk pelancaran iCAUR 03 pada suku ketiga 2025.

Menurut Naib Presiden iCAUR Malaysia, Emily Lek, gudang yang terletak di lokasi strategik itu akan menyokong sekurang-kurangnya 16 pengedar menjelang akhir tahun, dengan pelan pengembangan pada 2026.

Ketika ini, hab berkenaan menyimpan lebih 10,000 alat ganti dan komponen, membolehkan iCAUR menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang pantas dan efisien.

Kemudahan itu juga bersedia untuk menyokong operasi serantau, selaras usaha Chery International menjadikan Malaysia hab kenderaan pemanduan sebelah kanan (RHD) ASEAN.

Sementara itu, orang ramai berpeluang memandu uji iCAUR 03 melalui acara Panduan Berhalangan iCAUR iXPERIENCE di Plaza Arkadia, Desa ParkCity dari 21 hingga 24 Ogos ini.

Model pacuan dua roda (2WD) dilengkapi motor 135kW dan bateri 65.7kWh, menawarkan jarak sehingga 426km (NEDC), manakala varian pacuan semua roda pintar (iWD) berkuasa 279PS dengan jarak 418km turut disediakan.

iCAUR 03 dijangka dijual antara RM145,000 hingga RM155,000.

Tempahan boleh dibuat dengan bayaran RM1,000 yang akan dikembalikan sepenuhnya, dengan 30 pelanggan terawal di acara tersebut bakal menerima model skala edisi terhad bernilai RM1,388.

Google ads
Back to top button