
INFINITI PROJECT BLACK S PROTOTYPE – SEKALI IMBAS MACAM GT-R
Pengeluar kereta Jepun mempunyai satu ‘peel’ sama iaitu apabila sebuah syarikat mengeluarkan satu model maka syarikat lain pun turut sama menghasilkan produk lebih kurang serupa.
Terlalu banyak contoh boleh diberi sehingga produk niche dengan jumlah pembeli yang sedikit pun mereka mahu bersaing.
Sebagai contoh Nissan mengeluarkan GT-R, kemudian Lexus menawarkan LFA (walaupun segmen berbeza) dan Honda turut tidak mahu ketinggalan dengan NSX.
Cuma apabila divisyen jenama mewah seperti Lexus dengan LFA atau Acura mempunyai NSX, Infiniti pula senyap tanpa pesaing.
Tidak pula Infiniti mahu mengguna semula GT-R walaupun jenama itu mempunyai kehadiran dalam pasukan Formula 1.
Dari situ Infiniti seolah-olah ketinggalan di belakang Lexus dan Acura.
Walaubagaimanapun Infiniti nampak semakin aktif kebelakangan ini dan terbaru mengumumkan sebuah model prototaip yang sekali imbas macam GT-R.
Projek yang dikenali sebagai Project Black S ini bakal dipertontonkan di Paris dan menariknya mempamerkan bagaimana teknologi nadikuasa Formula One® dual-hybrid electric mampu digunakan di dalam kereta jalanan.
Projek ini juga sebahagian daripada perancangan elektrifikasi Infiniti bermula dari tahun 2021 ke atas.
Infiniti Project Black S dimulakan pada tahun 2017 lagi dan ia adalah hasil kerjasama pakar dari gabungan Renault-Nissan-Mitsubishi.
Berikut ialah maklumat tentang Infiniti Project Black S:
- Walaupun sekali imbas macam GT-R, model ini sebenarnya adalah Infiniti Q60 S
- Dibangunkan bersama pasukan Formula Satu Renault Sport
- Menggunakan enjin VR30 3.0 liter V6 turbo berkembar
- Sistem ERS (energy recovery system) menghasilkan kuasa dan tork lebih tinggi daripada enjin VR30
- Nadikuasa dual-hibrid ini mempunyai kuasa 420 kW atau 563 hp manakala enjin V30 pula menghasilkan 298 kW atau 400 hp
- Pecutan 0 – 100 km/j di bawah empat saat sahaja
- Menggunakan tiga unit motor (MGU). Unit yang dipanggil MGU-K (Kinetik) menghasilkan tenaga kintetik dari proses pembrekan. Pengecas turbo berkembar elektronik dipasangkan dengan dua unit MGU-H (Heat) untuk memperoleh tenaga panas daripada gas ekzos
- Gabungan komponen tersebut membolehkan kuasa elektrik diperolehi daripada proses pembrekan dan pecutan
- Walaupun model prototaip, projek ini memang dibangunkan untuk kegunaan di atas jalan raya
- Selain bahagian kuasa, Renault Sport Formula One turut bekerjasama pada bahagian aerodinamik
- Spoiler belakang mempunyai profail aerodinamik yang sama seperti spoiler Monza milik pasukan Renault Sport Formula One
BACA: TAHUKAH ANDA INFINITI LEBIH BAGUS DARIPADA LEXUS? – KAJIAN CSI J.D. POWER 2018 AS